KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Friday, July 16, 2010

Giliran Harakah pula terima surat tunjuk sebab KDN

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Akhbar dwimingguan Harakah, satu lagi akhbar tabloid komponan Pakatan Rakyat, diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri atas alasan telah melanggar syarat permit penerbitan.

Pengurusan akhbar itu menerima surat bertarikh 7 Julai 2010 (semalam) tengah hari ini.Harakah yang mempunyai edaran dalam lingkungan 100,000 naskhah setiap edisi dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab ini dalam tempoh tujuh hari.

Ini kali kedua sejak pilihan raya umum 2008, akhbar terbitan PAS ini berhadapan dengan tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri.

Akhbar itu pernah digantung awal tahun lepas tetapi penggantungan dibatalkan pada hari Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

“Kami menerima surat tunjuk sebab bertarikh 7 Julai 2010 ini hari ini, tengah hari tadi,” kata pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya kepada The Malaysian Insider.

Surat tunjuk sebab ini diterima tiga hari selepas beliau dipanggil mengadakan pertemuan dengan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi.

“Saya terkejut kerana perkara-perkara yang digariskan dalam surat tunjuk sebab ini tidak disentuh langsung dalam pertemuan 5 Julai lalu,” kata Taufek lagi.

Surat tunjuk sebab ini meminta Harakah memberi penjelasan mengapa ia gagal membekalkan lapan naskhah setiap edisi sebelum dipasarkan, dijual di kawasan-kawasan terbuka sedangkan permit hanya membolehkannya dipasarkan di pejabat atau markas PAS, dan sebab dijual kepada ahli-ahli bukan PAS.

Pada pertemuan Isnin lalu, Taufek berkata, Kementerian Dalam Negeri hanya menyentuh soal keperluan menghantar salinan lapan naskhah kepada kementerian itu dan penerbitan laporan menyentuh isu sensitif seperti Jemaah Islamiah, pengurusan Felda dan lesen judi bola.

Katanya, pertemuan hampir setengah jam di pejabat Kementerian Dalam Negeri Isnin lalu lebih tertumpu kepada penghantaran lapan naskhah Harakah ke kementerian itu sebelum diedarkan.

Mengenai isu-isu dikatakan sensitif, kata Taufek, beliau juga telah meminta Kementerian Dalam Negeri benar-benar memisahkan antara perkara berkaitan keselamatan negara dengan hal keselamatan parti pemerintah.

“Kita tidak mahu isu-isu yang kita bangkitkan berhubung keselamatan Umno BN dianggap sebagai menjejaskan keselamatan negara,” kata beliau lagi.

Malah kata Taufek, beliau ada membangkitkan bahawa akhbar-akhbar arus perdana juga memburukkan Pakatan Rakyat dan mengapa tidak diklasifikasikan sebagai mengancam keselamatan negara.

“Apabila saya membangkitkan perkara ini, Kementerian Dalam Negeri memberitahu bahawa pertemuan itu (Isnin lalu) bukan diadakan untuk berdebat,” katanya.

Sehubungan itu Taufek memberitahu, “saya punya pandangan tindakan Kementerian Dalam Negeri ini adalah kerana tekanan politik.”

“Saya bersimpati dengan pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri yang terpaksa berhadapan dengan tekanan politik,” katanya.

Taufek berkata, Harakah akan mematuhi kehendak surat tunjuk sebab yang dikeluarkan dan penjelasan akan dibuat dalam tempoh tujuh hari.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu lagi komponen Pakatan Rakyat, juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Suara Keadilan terbitan PKR diberikan surat tunjuk sebab dua minggu lalu dan permit penerbitan yang tamat 30 Jun lalu belum diperbaharui lagi.

Bagaimanapun PKR berkata ia menerbitkan akhbarnya hari ini dan akan dipasarkan seperti biasa meskipun permit belum lagi diperbaharui.

Tindakan kementerian itu dikaitkan dengan laporan muka depan mereka yang bertajuk “Felda Bankrap”, keluaran akhir bulan lalu.

Satu lagi akhbar tabloid iaitu Suara Perkasa, terbitan pertubuhan bukan kerajaan Perkasa telah dipanggil kementerian itu Isnin lalu dan diberi amaran tegas ekoran laporan edisi sulungnya bertajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA”. M/Insider

No comments:

Post a Comment

Blog Archive