KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Friday, July 16, 2010

Isu Felda: PKR sedia hadapi saman RM200 juta

SHAH ALAM, 2 Julai — Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia ke mahkamah untuk menghadapi saman daripada Felda berhubung laporan akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan yang menyiarkan artikel bertajuk “Felda Bankrap” yang disiarkan pada 22 hingga 29 Jun lepas, kata Naib Presidennya Azmin Ali.

Beliau berkata PKR bersedia berhadapan dengan tindakan mahkamah dan mendakwa akan membongkar lebih banyak maklumat mengenai keadaan sebenar Felda yang dicuba disembunyikan oleh pihak tertentu.

“Kita bersedia untuk menggunakan pentas ini (mahkamah) dan membongkar lebih banyak fakta supaya rakyat tidak ditipu.

“Saya tidak nampak logiknya peneroka Felda yang sudah bertahun ditekan tampil untuk berdemonstrasi seperti baru-baru ini melainkan mereka ditaja untuk menutup kelemahan tertentu,” katanya pada sidang media Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Pada sidang media itu, beliau yang juga presiden BBC Pakatan Rakyat mengulangi pendiriannya dan kelab berkenaan yang menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha BBC Pakatan Rakyat Lau Weng San yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku berkata semua pihak termasuk DAP menyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid walaupun mengaku wujud perbezaan pendapat antara parti dalam pakatan itu.

“Perbezaan pendapat yang timbul melambangkan kami mengamalkan keterbukaan dalam memberikan pandangan dan bukannya perpecahan,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment

Blog Archive