KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Friday, July 16, 2010

PKR: Suara Keadilan tetap diterbitkan walaupun tanpa permit

Oleh G. Manimaran dan Clara ChooiJuly

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menerbitkan akhbar mingguannya Suara Keadilan minggu ini seperti biasa meskipun Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permit penerbitan yang luput Rabu lalu.

Kedua-dua Pengarah Strategi PKR Tian Chia dan Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib mengesahkan yang akhbar itu akan diterbitkan, kemungkinan esok ataupun lusa.

“Biasanya Suara Keadilan akan diterbitkan pada Selasa... jika tiada halangan, akan diterbitkan esok seperti biasa,” kata Dzulkarnain ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Sebagaimana dikatakan oleh Tian Chua, saya merasakan parti mendapati Kementerian Dalam Negeri ada niat jahat (kerana tidak memperbaharui permit,” kata beliau.

Chua ketika ditemui di lobi Parlimen pagi tadi berkata, penerbitan akan diteruskan seperti biasa memandangkan keputusan kementerian masih belum jelas dalam soal memperbaharui permit.

“Apa yang kerajaan maksudkan tidak jelas, apabila mereka mengatakan bahawa permit tidak boleh diperbaharui tetapi penerbitan tidak diharamkan,” katanya.

“Kami akan terus mengeluarkan sehingga satu keputusan dibuat,” kata Chua lagi.

Chua menambah, adalah normal bagi mana-mana penerbitan untuk meneruskan terbitan mereka meskipun permit telah tamat tempoh ekoran “kelemahan kecekapan agensi-agensi kerajaan”.

“Ia sudah luput, tidak bermaksud mereka bercadang untuk membatalkan permit sama sekali, kami akan meneruskan terbitan,” kata beliau.

Jelas beliau, sebab Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permit Suara Keadilan adalah satu tindakan tidak munasabah.

“Kami, sebagai pembangkang, tidak boleh menerbitkan berita-berita yang memuji kerajaan Barisan Nasional. Matlamat kami ialah mendedahkan kelemahan dalam kerajaan, bukan hanya memuji mereka semata-mata,” kata beliau.

Dzulkarnain pula berkata, pihaknya hairan kerana permohonan untuk memperbaharui permit yang dikemukakan lebih tiga bulan lalu hanya diproses minggu lalu ketika timbulnya isu semasa Felda.

“Permohonan ini baru dipertimbangkan... Kementerian Dalam Negeri nampaknya menunggu isu ini timbul untuk mempertikai dan menggunakannya sebagai alasan tidak memperbaharui permit... pengarang Suara Keadilan (pula) dipanggil sebaik sahaja Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mengadakan sidang media... timbul motif tindakan mereka,” kata Dzulkarnain lagi.

“Kami melihat tindakan Kementerian Dalam Negeri bermotifkan politik,” katanya yang mengakui beliau tidak menemui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam semalam.

Mengenai implikasi bakal dihadapi pihaknya, Dzulkarnain berkata, “saya pasti parti sudah menimbangkan perkara ini”.

Kata beliau, jikapun pihaknya terus menerbitkan Suara Keadilan nama itu akan dikekalkan.

Suara Keadilan menerima permit penerbitan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Naib Presiden PKR Azmin Ali mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini berhubung isu berkenaan.

“Kami berharap usul ini akan diterima dan dibahaskan di Parlimen esok. Kami bersedia untuk menyediakan butiran terperinci apa yang berlaku,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Azmin menambah, Kementerian Dalam Negeri mendakwa Suara Keadilan telah gagal untuk respons terhadap surat-surat teguran yang dihantar sebelum ini.

“PKR ingin menekankan bahawa parti tidak menerima sebarang surat daripada kementerian termasuk surat-surat teguran yang dimaksudkan.

“Peguam-peguam kami telah memberi jawapan bertulis 29 Jun, memaklumkan bahawa penerbitan kami tidak menerima surat-surat sedemikian dan meminta butiran salinan daripada Kementerian Dalam Negeri tetapi kementerian telah gagal untuk respons sehingga kini,” kata Azmin.

Beliau menambah, dalam surat yang sama Kementerian Dalam Negeri mengatakan bahawa panel 13 anggota belum memutuskan keputusan membaharui permit dan “surat teguran” yang berkaitan dengan laporan “Umno-BN ketagih sedut hasil Petronas”, “BN Bolot, jual saham Bernas” dan “Umno-BN rosakkan institusi perubatan”.

Atas alasan-alasan itu, kata Azmin, Kementerian Dalam Negeri mendapati Suara Keadilan telah gagal dalam mematuhi garis panduan penerbitan yang menggariskan bahawa Suara Keadilan terhad kepada berita-berita parti sahaja.

Katanya, ini sesuatu yang keterlaluan dan tidak masuk akal bagi akhbar pembangkang seperti Suara Keadilan hanya boleh membawa laporan berkaitan dengan aktiviti parti tanpa menulis mengenai isu-isu semasa dan kerajaan semasa.

Seorang lagi Naib Presiden R. Sivarasa bersetuju dengan pandangan Azmin dan berkata, sebagai parti rasmi dan bersemangat, adalah keterlaluan bagi kerajaan untuk menghalang PKR daripada menerbitkan berita tentang isu-isu semasa.

“Mereka tidak faham bahawa kerja kami bukan untuk memuji kerajaan. Jika begitu keadaan, lebih baik kami menjadi ahli-ahli Parlimen BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive