KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Thursday, September 23, 2010

Syabas Presiden NUJ baru; kubu Umno di Utusan goyang?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Beberapa kenyataan awal Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari cukup menarik perhatian saya. Beliau baru dipilih menggantikan Norila Daud, 17 September lalu. Saya sendiri, sebagai aktivis media yang agak kerap menimbulkan isu kebebasan bersuara di negara ini, melihat Hata telah memulakan langkah awal dengan baik walaupun mungkin bakal menempuh kontroversi berlanjutan.

Selama ini isu kebebasan media lebih dikaitkan dengan suara wartawan alternatif sehingga wacana penting itu tidak dapat dikongsi dengan khalayak yang lebih meluas. Malah untuk menggerakkan lobi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) - yang sebenarnya turut mengongkong semua wartawan - agak sukar untuk digemblengkan seluruh potensi warga media.

Semasa saya (mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen) bertemu dengan bekas Naib Pengerusi Suhakam, Allahyarham Tan Sri Harum Hashim hampir sepuluh tahun dahulu, bagi membincangkan isu pengharaman majalah Detik dan Wasilah, beliau bertanyakan saya berapa ramai wartawan yang mendokong perjuangan membebaskan media.

Memang soalan itu sukar dijawab. Saya tidak dapat menjawab bagi pihak wartawan lain kecuali sejumlah kecil warga media yang saya kenal pasti bertugas dengan akhbar alternatif.

Walau bagaimanapun saya tetap yakin bahawa teman-teman yang bertugas dengan syarikat media yang dikaitkan dengan Umno-BN pun menanggung derita yang sama, termasuk editor kanan.

Mereka mungkin tidak begitu hiraukan belenggu AMCP (sebahagiannya tidak tahu menahu pun tentang akta berkenaan) tetapi pastinya sentiasa rimas dengan kongkongan elit politik yang sentiasa menganggap akhbar yang bebas adalah seteru yang mesti dipasung.

Berbeza dengan Hata, meskipun bertugas lebih 15 tahun di Utusan Melayu, yang dianggap (tanpa syak lagi) sebuah syarikat akhbar yang menjadi alat dan perkakas kepada Umno, namun kelantangan dan keberaniannya menyinggung Ketua Pengarang Kumpulan dan para editor kanannya, boleh dianggap satu kejutan.

Beliau secara terbuka mahukan wartawan bertugas secara profesional dan bebas daripada kongkongan mana-mana pemimpin politik, baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, serta melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan.

Khusus merujuk kes di Utusan Melayu yang menjadi sasaran kritikan ramai aktivis politik, Hata menyalahkan ketuanya sendiri, Dato' Aziz Ishak.

Beliau menggesa agar pemimpin politik tidak terus menyalahkan akhbar itu, sebaliknya menunjukkan rungutan serta rasa tidak senang hati mereka kepada Aziz secara terus.

"NUJ Malaysia melihat adalah tidak adil untuk menyalahkan akhbar Utusan Malaysia yang di dalamnya terdapat wartawan, jurugambar dan artis grafik serta pekerja-pekerja lain yang tidak berkongsi agenda serta tidak mempunyai kuasa untuk menegur ketua pengarang dan pengarang-pengarang kanan," tambahnya dalam kenyataan sulung sebagai Presiden NUJ.

"Ketua Pengarang sebagai orang yang menentukan agenda, berita dan pelbagai pendapat untuk disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesan negatif, rungutan dan sebarang rasa tidak puas hati yang dilemparkan kepada akhbar Utusan Malaysia," tegas Hata.

Tanpa menunggu lama, pandangan awal beliau telah dibidas oleh ahli Majlis Tertinggi PERKASA, Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang. Pandangan Zahid itu mungkin mewakili tanggapan songsang sebahagian besar pemimpin Umno yang lain. Seolah-olah isu kebebasan bersuara dan hak asasi manusia adalah milik mutlak pembangkang, dan sering dipandang dengan penuh prejudis.

"Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin politik lain. Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961," sanggah Hata.

Apa pun sebagai respons awal, saya mengucapkan tahniah buat Hata. Sekurang-kurangnya impian saya selama ini dapat dikongsi dengan lebih ramai pengamal media. Saya lebih gembira kerana ia kini datang daripada petugas akhbar yang dikuasai mutlak oleh Umno.

Biar kita sama-sama memeriahkan pentas perjuangan ini dan gema tuntutan agar segala sekatan dan peraturan "karut-marut" ke atas media di Malaysia dilaungkan secara lebih lantang dan tersusun lagi.

II.

Perjuangan membebaskan media di Malaysia, daripada kongkongan peraturan "karut-marut" dan akta ketinggalan zaman yang mencabuli prinsip asas demokrasi, perlu digerakkan dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Ia boleh tidak tertangguh lagi, sebaliknya wajar disegerakan, terutama sekali apabila menyaksikan ruang awam untuk perdebatan isu-isu rakyat melalui akhbar makin sempit.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang diasaskan hampir 10 tahun lalu mendapat dorongan baru bagi melonjakkan kembali agenda mengungguli kebebasan bersuara apabila semua lidah rasmi Pakatan Rakyat bukan setakat diganggu Kementerian Dalam Negeri, malah sehingga kini, Suara Keadilan, masih belum diperbaharui permit
penerbitannya.

Namun begitu, KAMI bukan sekadar responsif terhadap nasib malang akhbar alternatif, malah turut prihatin dengan kongkongan berterusan yang dihadapi pengamal media lainnya, termasuk para wartawan dan editor akhbar yang dikaitkan secara langsung dengan Umno-BN.

Bagi menyusun langkah untuk menimbulkan kesedaran awam tentang isu kebebasan media ini, KAMI telah mengadakan beberapa pertemuan dan majlis perbincangan, selain melakukan kunjungan hormat ke atas tokoh-tokoh media pada Ramadan lalu.

Banyak saranan dikemukakan peserta diskusi, antaranya, dengan mengadakan dialog bersama pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat sendiri.

Rupanya konflik berterusan pengamal media dengan pemerintah tidak begitu difahami, bukan sahaja oleh masyarakat awam, malah aktivis pembangkang juga agak jahil dengan kemelut yang dihadapi sejak sekian lama itu.

Ada pula yang mengambil jalan mudah dengan daleh bahawa kita mempunyai saluran lebih berkesan, yang tidak dikongkong elit penguasa, iaitu melalui media baru.

Justeru, hujah mereka, mengapa perlu kita bersusah-payah menentang akta drakonian, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), jika terbentang luas dunia maya, yang boleh dimanfaatkan tanpa tegahan?

Sama ada media tradisi seperti akhbar masih mempunyai pengaruh besar ataupun semakin kecil, terutama kepada kecenderungan mengundi semasa pilihan raya, ia bukan isu besar.

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat berilmu dan bermaklumat, sebarang kongkongan, seperti yang ditimpakan oleh AMCP tidak boleh dibenarkan. Apatah lagi, akhbar masih merupakan medium utama majoriti rakyat negara ini mendapat info terkini dengan mudah dan meluas.

Dalam pertemuan KAMI dengan Prof Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor, beliau mencadangkan agar satu program sehari dianjurkan, bagi menarik perhatian masyarakat terhadap isu kebebasan media.

Beliau turut menyebut beberapa nama, dari kalangan pensyarah media, yang dilihatnya berupaya untuk menjelaskan dengan baik masalah yang dihadapi dunia persuratkhabaran.

Semasa di Suhakam, Prof Hamdan merupakan antara pesuruhjaya yang aktif memberikan respons positif terhadap tuntutan kebebasan bersuara. KAMI sendiri pernah mengadakan perbincangan dengan Suhakam, selain merakamkan beberapa aduan kes tertentu membabitkan pengharaman majalah Detik dan Wasilah.

Suhakam turut menganjurkan bengkel khas mengenai polemik kebebasan media dan rumusan yang dicapai agak memuaskan. Namun tiada langkah susulan yang bermakna daripada kerajaan.

Memang ada pandangan yang menggesa agar KAMI lebih lantang, bukan sahaja dalam menyuarakan tuntutan tetapi juga bersedia untuk mengambil tindakan berani bagi "mengejutkan" pemerintah.

"Kempen kesedaran mungkin bermanfaat untuk menyuntik kefahaman, tetapi lebih penting adalah penggemblengan tenaga lebih besar, terutama membabitkan seluruh petugas media, untuk memberi kata dua kepada kerajaan," kata seorang bekas wartawan dalam satu pertemuan yang dianjurkan KAMI.

Baca Seterusnya......

Wednesday, September 22, 2010

Perjuangan NUJ bebaskan akhbar dari politik

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari hari ini membidas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang sebagai "sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak relevan".

"Sebagai Presiden NUJ Malaysia, jiwa dan raga saya hanya untuk kesatuan serta mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

"Bagi NUJ Malaysia, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan dan melaksanakan tanggungjawab tanpa memihak atau cenderung kepada mana-mana pihak atau parti politik baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat," kata Hata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai wartawan profesional yang bertugas lebih 15 tahun di Utusan Malaysia dan mengetuai sebuah pertubuhan profesional maka "tindak tanduk NUJ Malaysia melebihi sempadan serta tidak termaktub kepada kongkongan mana-mana pihak".

"Sebagai wartawan profesional, saya merupakan pekerja yang setia dengan akhbar Utusan Malaysia untuk mendokong prinsip-prinsip asas yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas akhbar tersebut yang sememangnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik.


"Kenyataaan yang dikeluarkan oleh Mohd Zahid yang melihat saya cenderung kepada parti pembangkang jelas menunjukkan PERKASA memihak kepada parti politik dan tentunya parti itu adalah Barisan Nasional"," katanya.

Sehubungan itu, Hata menasihatkan PERKASA supaya menjaga ahli-ahlinya dan laksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli dan "tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti politik".

Hata mengulas laporan berhubung kenyataan Mohd Zahid yang mahu beliau membuat penjelasan apakah beliau seorang penyokong tegar pembangkang.

Mohd Zahid dilapor mendakwa banyak cakap-cakap dalam industri media yang mengaitkan Hata sebagai penyokong tegar pembangkang terutamanya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komen beliau dalam laman sosial Facebook didakwa bernada pro-pembangkang.


Dalam kenyataan itu juga, Hata turut menegaskan bahawa NUJ - yang mempunyai seramai 1,335 ahli - merupakan sebuah pertubuhan yang bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin-pemimpin politik lain.

"Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961," katanya .M/Kini
Baca Seterusnya......

Saturday, September 18, 2010

Pinda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, gesa NUJM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) memandang serius terhadap kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan merangka garis panduan penerbitan baharu untuk memastikan pihak penerbit memahami tanggungjawab dan peranan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong dalam kenyataannya semalam antara lain menyebut, sesetengah akhbar menjadikan soal kaum dan agama sebagai asas perdebatan dan pertikaian yang dilihat telah mewujudkan suasana tidak tenteram dan meresahkan rakyat.

Chee Leong juga menyentuh terdapat kecenderungan sebilangan akhbar mensensasikan laporan berita, rencana dan surat-surat pembaca yang menyentuh isu sensitif tanpa mengira kesannya terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam perkara ini NUJM berpendapat, tidak menjadi kesalahan sekiranya penerbit atau akhbar tertentu menghurai dan memberitahu pembaca tentang keadaan sebenar sekiranya sesuatu perkara yang melibatkan agama, budaya dan tatatertib sesuatu kaum dan bangsa itu telah diganggu akibat perbuatan pihak yang tidak memahami sensitiviti sesuatu kaum itu sepenuhnya.

Adalah lebih sihat perkara yang walaupun dianggap dan diklasifikasikan sebagai sensitif diperjelaskan dan diperdebatkan dalam media dengan cara beretika daripada membiarkan rakyat mengambil tindakan sendiri kerana tidak mendapat gambaran jelas serta maklumat tepat mengenai sesuatu perkara itu. Kita mahu rakyat Malaysia peka, rasional dan berpengetahuan dan bukan sebaliknya.

Sudah sampai masanya kerajaan membenarkan media mengambil sikap lebih terbuka dan bebas mendebatkan sesuatu perkara walaupun sensitif untuk memberi kefahaman yang jelas kepada semua pihak terlibat. NUJM percaya hanya melalui proses seperti ini dapat melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan menghargai perbezaan pendapat itu sebagai satu asas penting yang membolehkan negara mencapai kemajuan sejak 53 tahun mencapai kemerdekaan.

Kekayaan budaya yang dilahirkan daripada kepelbagaian bangsa, agama dan keturunan di negara ini tidak akan menuju ke satu tahap kemajuan menjelang 2020 sekiranya KDN terus menggunakan Akta Mesen Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) sebagai alasan untuk mengetatkan syarat-syarat penberbitan sehingga menyukarkan pihak media untuk menyalurkan maklumat sebenarnya kepada pembaca.

Kebebasan pembaca untuk berdebat dan memberi pandangan mengenai sesuatu isu tidak boleh disekat di akhbar-akhbar berikutan keterbukaan dan kebebasan mereka berbuat demikian di portal-portal dan akhbar online.

NUJM melihat sekatan atau garis panduan yang baharu yang bakal dirangka itu bukan sahaja menjadikan akhbar-akhbar yang dikawal oleh Akta tersebut sebagai tidak lagi relevan malah secara perlahan membunuh industri persuratkhabaran itu sendiri apabila ia tidak lagi menjadi bahan bacaan menarik yang boleh menjadi rujukan dan membina minda intelek rakyat.

Menggunakan isu sesuatu berita dan rencana itu boleh membawa kesan kepada keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan hari ini sebagai syarat untuk mengetat dan mengawal penerbitan berita.

Dengan ini NUJM berpendapat sudah sampai masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu dipinda supaya penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah.

NUJM berpendapat pihak yang mengancam ketetenteraman awam dan menjejas keharmonian rakyat menerusi penulisan dan penyiaran mereka mesti didakwa di bawah undang-undang sedia ada bagi membolehkan mereka membuat pembelaan diri di mahkamah.

*Kenyataan oleh Norila Daud selaku Presiden NUJM (Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia) pada 16 September 2010.
Baca Seterusnya......

Wednesday, September 1, 2010

Nurul Izzah mahu mohon permit akhbar harian ‘Utusan Rakyat’

Oleh Adib Zalkapli

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bercadang mahu menerbitkan akhbar harian — Utusan Rakyat — ketika Kementerian Dalam Negeri masih belum memperbaharui permit akhbar mingguan terbitan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wakil rakyat PKR penggal pertama ini berkata, surat hasrat untuk menerbitkan akhbar itu telah pun dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini.“Saya minta sokongan menteri agar permohonan ini dipercepatkan,” kata Nurul Izzah

Kini pasaran tempatan mempunyai akhbar harian Bahasa Malaysia Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, KOSMO dan Metro.

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berkata, permohonan itu dibuat atas kapasiti peribadinya.

Bagaimanapun kata beliau, butiran pengurusan penerbitan itu akan diputuskan kemudian.

“Kami akan memutuskan soal hak milik dan butiran lanjut kemudian,” kata beliau.

Menurut Nurul Izzah, pegawai kementerian ada memberitahunya bahawa permit penerbitan akhbar harian itu akan diluluskan jika pihaknya memenuhi kesemua syarat yang dikenakan.

Permit penerbitan perlu diperbaharui setiap tahun.

PAS pernah membuat permohonan sedemikian pada 2000 menggunakan nama Purnama tetapi telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

Nurul Izzah muncul dengan idea ini ketika Kementerian Dalam Negeri belum memperbaharui permit akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang diterbitkan setiap minggu.

Suara Keadilan juga telah diberikan surat tunjuk sebab ekoran penerbitan edisi akhir Jun lalu dengan tajuk muka depan “Felda Bangkrap”, yang mendakwa agensi itu kini berada di ambang muflis.

Dua lagi komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PAS juga pernah berhadapan dengan masalah permit penerbitan diperbaharui.

Bagaimanapun Harakah dan The Rocket telah menerima permit masing-masing akhir Julai dan dua minggu lalu.

Kedua-duanya dikenakan syarat hanya boleh dijual kepada ahli masing-masing dan premis masing-masing, bukannya secara terbuka.
Baca Seterusnya......