KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Friday, July 16, 2010

Masalah permit: Komponen Pakatan gantung terbit organ

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pakatan Rakyat mengambil pendirian di luar jangkaan hari ini dengan memutuskan untuk menggantung organ terbitan ketiga-tiga komponennya sehingga menanti hasil perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri minggu depan.

Akhbar Suara Keadilan dan Harakah serta Rocket kini berhadapan dengan masalah permit masing-masing daripada diperbaharui.Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu diambil pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

“Kami tidak akan terbitkan edisi baru organ parti kami sama ada Suara Keadilan, Harakah atau Rocket buat sementara waktu.

“Kepimpinan parti akan mengadakan pertemuan lagi minggu depan dan mengkaji semula keputusan kami dan langkah susulan,” kata Anwar yang juga Penasihat PKR.

Kata beliau langkah itu diambil bagi membolehkan mereka menemui Kementerian Dalam Negeri bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan permit penerbitan.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri berkata ia tidak pernah mengamalkan sebarang diskriminasi terhadap penerbitan akhbar di negara ini, termasuk yang diterbitkan oleh parti pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kesemua bahan penerbitan khususnya akhbar-akhbar di negara ini mendapat layanan sama rata dan tertakluk kepada Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.

Justeru, katanya tidak timbul soal kerajaan hanya mengawal dan memantau akhbar terbitan parti pembangkang sahaja.

“Semua akhbar di negara ini perlu mempunyai permit dan memperbaharui permit mereka sebaik sahaja ia tamat (tempoh) dan perlu memberikan kerjasama terhadap kementerian,” katanya di Putrajaya.

Beliau mengulas tindakan Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang masih meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan walaupun tanpa permit yang sah.

Merujuk kepada isu itu, Hishammuddin berkata kementerian turut memantau penerbitan akhbar-akhbar lain termasuk yang diterbitkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini semua memberi kerjasama yang baik termasuk akhbar rasmi PAS, Harakah. Hanya Suara Keadilan yang bertindak sebaliknya,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata akhbar tersebut kini sedang disiasat di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 serta Akta Rahsia Rasmi kerana menyiarkan surat sulit kerajaan.

Siasatan tersebut sedang dijalankan dengan kedua-dua pihak (kementerian dan Suara Keadilan) akan dipanggil untuk memberi kenyataan, katanya ketika mengulas laporan polis yang dibuat oleh kementerian terhadap Suara Keadilan.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive