KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Saturday, July 24, 2010

WAMI: Lidah parti harus dijual kepada umum

WAMI mengecam sekeras-kerasnya kerajaan kerana dengan sengaja tidak, atau melengahkan pembaharuan permit tiga akhbar parti pembangkang, iaitu Suara Keadilan, Harakah dan The Rocket. Hanya permit Harakah diperbarui sehingga kini.

WAMI berpendapat bahawa warga dalam sesebuah masyarakat sivil mempunyai kebebasan untuk memilih bahan bacaan. Seandainya tuntutan lidah parti berpaksikan pandangan yang sempit, maka ia tetap tidak akan melewati lingkungan penyokong setianya walaupun disebar dengan luas.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bahawa akhbar parti perlu mematuhi panduan KDN, dan dihadkan penjualannya kepada ahli parti sahaja, menunjukkan bahawa lidah parti ini mendapat sambutan di kalangan bukan anggota parti.

Mengapa mereka yang bukan ahli parti sanggup membelanjakan wang titik peluh mereka untuk membeli akhbar parti yang kandungannya berat sebelah? Jawapannya mudah, kerana semua media arus perdana yang sedia ada dikawal ketat oleh kerajaan, melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan pemilikan.

Bukan sahaja hak untuk menjawab (kepada tuduhan) pemimpin pembangkang dinafikan lidah kerajaan seperti Utusan Malaysia, malah mereka jarang diberi peluang untuk tampil secara positif di stesen televisyen dan radio awam sekarang.

WAMI prihatin terhadap penubuhan Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi, yang diumumkan Menteri KDN untuk menghentikan sebaran berita yang palsu. Dalam konteks yang sedia ada, jawatankuasa ini akan menjadi satu lagi alat BN untuk mengawal media.

Kami menggesa warga Malaysia membantah penindasan terhadap tiga akhbar parti ini. Tindakan KDN ini bukan sahaja satu diskriminasi terhadap parti pembangkang, malah menafikan hak mengetahui oleh rakyat.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia harus terus mendesak untuk reformasi secara menyeluruh terhadap akta media, terutamanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Kami menggesa rakyat menulis kepada Perdana Menteri, dan Menteri KDN (dengan kandungan yang dicadangkan berikut), mendesak agar pengharaman ketiga-tiga akhbar ini dibatalkan. Malah kerajaan persekutuan digesa untuk meneladani kerajaan negeri Selangor, yang mengusulkan Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat yang pertama di Malaysia.

Lampiran (Contoh kandungan surat)

Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Faks : 03-8888 3444
Email : aziz@pmo.gov.my, dfatmi@pmo.gov.my
(Setiausaha sulit dan politik PM)

Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Dalam Negeri
Faks: 03-88891613/03-88891610
Email: menteri@moha.gov.my

23 Julai 2010

Batalkan pengharaman terhadap Suara Keadilan, Harakah dan The Rocket

Saya, selaku warga Malaysia membantah pengharaman dan halangan yang dikenakan ke atas penerbitan dan pengedaran ketiga-tiga organ parti pembangkang, iaitu Suara Keadilan, Harakah and The Rocket. Tindakan kerajaan yang tidak demokratik ini telah mencabul hak saya untuk akses kepada informasi.

Maka saya menuntut kerajaan membatalkan pengharaman dengan segera dan tanpa syarat, dan kemudian mereformasikan undang-undang media, untuk memastikan satu suasana media yang bebas daripada kawalan politik, di mana kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang mempunyai peluang yang sama rata untuk akses kepada media awam dan swasta.

Yang benar,

___________

(Nama penuh)

*Kenyataan media oleh Wong Chin Huat, selaku Pengerusi WAMI (Writers Alliance for Media Independence). Diterjemah dari kenyataannya dalam bahasa Cina.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive