KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Sunday, April 14, 2013

Wartawan bukan setakat anjing penjaga

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

NAMPAKNYA nasi Arab resepi dan masakan isteri Ahmad Lutfi Othman mempunyai peranan tertentu dalam kehidupan peribadi dan profesional pengarang. Minggu lalu saya menerima SMS Lutfi. Ringkas sahaja: “Buku sudah siap.”

Walaupun seperti biasa, dan seperti sejak dulu lagi, iaitu sebelum mengenali pengarang secara peribadi, saya teruja untuk memiliki dan membaca buku terbaru beliau. Namun kali ini saya membiarkan sahaja SMS itu tidak dibalas dengan segera.  Niat di hati ialah untuk membalasnya sebaik sahaja ada kesempatan.

Namun sehari kemudian, pengarang menelefon saya. Soal buku tidak disebut. Sebaliknya, Lutfi mengundang saya untuk menjamu selera nasi Arab di rumahnya. Walaupun masa agak kesuntukan kerana saya perlu bertolak ke Pantai Timur pada sebelah malamnya dan perlu membuat pelbagai persiapan, dalam keadaan apapun, undangan seperti itu rasanya masih ada slot masa yang boleh diurus.  Kalau pun perut sudah kenyang sekalipun, undangan nasi Arab di rumah beliau menepati bidalan Melayu: Sepenuh-penuh peti, masih boleh diisi sehelai sapu-tangan.


Saya tiba di rumah Lutfi menjelang waktu Isyak. Seperti biasa, apabila ada nasi Arab, ada sahaja tetamu di rumah beliau. Saya mendengar sahaja perbincangan mereka mengenai sisipan baru Harakah yang bakal diedar secara percuma ke kawasan-kawasan yang tidak menerima liputan internet atau penduduknya tidak begitu terdedah kepada dunia siber.

Sebaik tetamu lain beredar dan selesai menjamu selera, Lutfi terus menghulurkan buku terbarunya, Pencuri Pilih Anjing, setebal 405 halaman.  Awal-awal lagi saya memang ternampak buku itu di atas sofa di sebelah saya. Sangkaan saya ia adalah sebuah buku bahasa Inggeris kerana rekabentuk kulitnya mirip sebuah buku antarabangsa.


Saya terpegun membaca judulnya. Ia bukan judul sebuah buku politik berbahasa Melayu yang biasa kita lihat di kedai buku. Ketika itu saya teringat sebuah buku bestseller yang pernah saya baca beberapa tahun sebelum itu, The Curious Incident of the Dog in the Night-time oleh pengarang British, Mark Haddon.


Begitupun buku Haddon adalah sebuah novel sedangkan ‘Pencuri Pilih Anjing’ adalah sebuah antologi (jika saya boleh gunakan istilah tersebut) tulisan Lutfi yang tersiar di akhbar Harakah dalam kolumnya Catatan Hujung.


Benar, ramai telah membaca tulisan-tulisan tersebut. Namun berapa ramaikah yang masih ingat apa yang ditulis Lutfi. Usia akhbar dua-kali seminggu adalah cuma beberapa hari sedangkan usia buku pula kekal. 


Sebagai contoh berapa ramai yang masih ingat tulisan ini: "Usahlah tersilau dengan kemilau pelbagai insentif one-off, namun perhatikan juga habuan yang dibolot para kroni dan suku-sakat elit pemerintah… Misalnya, kes pemaju hartanah di KLIFD, yang projeknya bernilai RM26 bilion, telah diberikan pelepasan cukai sebanyak 70% bagi tempoh lima tahun. Pada kadar cukai korporat 25%, sebanyak RM1.3 bilion wang rakyat, yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara, akan bolos begitu sahaja di tangan kroni."


Tulisan itu tersiar pada 18 Oktober 2011. Walaupun jumlah RM1.3 bilion hanyalah ibarat sesudu teh air dalam sebuah tempayan besar jika dibandingkan dengan ratusan bilion ringgit yang dibazir dan disonglap gerombolan elit pemerintah dalam pelbagai bentuk lain dan disebut dalam akhbar Harakah dan media alternatif dari semasa ke semasa, ia sudah cukup bagi memperjelaskan betapa bobrok dan tidak amanahnya kerajaan Umno-BN.


Pada masa-masa lalu, saya pernah memperkatakan betapa tulisan Lutfi sama ada dalam bentuk buku mahupun rencana/kolum banyak membawa unsur atau sentuhan peribadi beliau. Sedikit sebanyak beliau akan memperkenalkan suasana sekeliling kehidupan peribadinya.  Antaranya, "Tengah hari Isnin lalu, pintu pagar saya digoncang kuat ..." (halaman 184, dan Harakah 17 Februari 2012). 


Tak perlulah saya sambung petikan ini. Untuk mengetahui siapa yang mengetuk pintu pagar rumahnya pada hari itu, sama ada pasukan polis daripada Cawangan Khas (yang agak sudah sebati dengan kehidupan pengarang di zaman ISA masih berkuat kuasa, atau orang lain, dapatkan buku ini dan bacalah.


Namun apa yang ingin saya jelaskan ialah bahawa unsur dan sentuhan peribadi yang dimaksudkan itu tidak bermaksud serangan peribadi terhadap sesiapa. Jika Lutfi memperkatakan sesuatu tentang pemimpin Umno, seperti Dr Mohd Khir Toyo, maka itu hanyalah sebagai sebuah ulasan berdasarkan apa yang dilakukan atau tidak dilakukan bekas Menteri Besar itu ketika memegang jawatan kerajaan.

Dalam bab ‘Skandal Najib Meletup Dekat PRU13’, Lutfi menjelaskan lagi soal keengganannya menyentuh soal peribadi. "Secara peribadi saya tidak gemar dan memilih untuk mengelak daripada mengungkit kisah peribadi berkaitan kehidupan Najib, termasuk masa silamnya, apatah lagi membabitkan isterinya (tidak terkecuali kisah bekas isterinya!)”


Begitupun, suka atau tidak, politik adalah mengenai manusia dan dramatis personanya justeru sebagai penulis politik kita tidak selalunya dapat mengelakkan diri daripada menulis mengenai keperibadian mereka.  Ini kerana keperibadian dan perwatakan seseorang pemimpinlah yang turut menjadi faktor kepada kepimpinannya. Namun, di tangan Lutfi, pengulasan dalam bentuk ini mengambil bentuk berbeza.


Tidak syak kelebihan seperti inilah yang membuatkan Lutfi berada dalam kelasnya yang cukup tersendiri berbanding kebanyakan penulis politik sama ada dalam kelompok pembangkang mahupun kerajaan.


Inilah yang dimaksudkan Mohamed Hanipa Maidin, AJK Pusat PAS dan peguam kanan yang mengenali Lutfi sejak zaman universiti.  Dalam kata pengantar beliau untuk buku ini, bertajuk 'Ibarat Pergi ke Makkah Tanpa Melawat Kaabah', Hanipa menyebut: "Ramai yang berani menulis namun tidak ramai yang berani mencabar secara berhadapan dengan karenah, birokrasi dan kebiadaban KDN..."


Dan inilah juga yang dimaksudkan kartunis terkemuka Zunar yang juga menulis dalam buku ini: "Tulisannya bukan 'touch and go' dan tidak sekadar di permukaan permasalahan.  Dia masuk ke dalam. Ibarat berenang di dasar di lautan politik ..."


Pencuri Pilih Anjing bukan sahaja penting sebagai dokumen sejarah tetapi ia bertepatan pula dengan PRU13.  Setiap bab di dalamnya mengingatkan semula betapa kita tidak boleh lagi membiarkan Umno-BN berkuasa.

Baca Seterusnya......

KDN rampas manifesto, rayu undi Pakatan Rakyat

Oleh AZAMIN AMIN

KULIM-BANDAR BAHARU:Kerajaan BN telah bertindak memberi tekanan dan halangan kepada Pakatan Rakyat dalam usaha menyampaikan mesej dan tawaran kepada rakyat sebelum hari pengundian 5 Mei depan.

Terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa telah merampas sejumlah ribuan kad rayuan undi dan manifesto Pakatan Rakyat kepada penduduk negeri ini.

Menurut sumber, kad dan manifesto tersebut telah dihantar ke pejabat pos di seluruh negeri bagi tujuan edaran dan bayaran pos juga telah dibayar secara tunai.

Insiden ini, berlaku ketika BN belum lagi mengumumkan calon-calon bertanding bagi pilihan raya umum ke-13 berbanding Pakatan Rakyat.

"Malangnya, KDN telah merampas di beberapa pejabat pos di sekitar Kedah dan tidak sempat untuk diedarkan kepada para penduduk.

"Apa kesalahan Pakatan Rakyat...adakah bahan yang mahu edarkan adalah bahan terlarang? Bagaimana pula dengan kad rayuan undi dan manifesto BN yang boleh diedar secara pos di seluruh negara?" kata sumber kepada Harakah.

Difahamkan kakitangan pejabat pos juga telah dipaksa untuk bekerja lebih masa sehingga lewat malam, bagi memastikan lebih 10 juta kad rayuan undi dan sisipan manifesto BN diedarkan ke seluruh Malaysia.

Perkara ini kata sumber telah mengundang kemarahan ramai khususnya para penyokong Pakatan Rakyat yang menyifatkan tindakan kerajaan yang tidak langsung menghormati prinsip demokrasi untuk parti-parti lain berkempen secara sihat.

"Sudahlah semua media arus perdana, setiap masa berkempen bagi pihak BN dan langsung tidak diberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menjelaskan tawaran dan khidmat mereka.

"Sekarang, bahan-bahan kempen Pakatan Rakyat pula nak dihalang...mana perginyan keadilan dan persaingan sihat?,"katanya.

Baca Seterusnya......