KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Monday, May 16, 2011

Media murahan: Aibkan orang, cetuskan rasa cemas

Oleh M SHAFRI SHAMSUDIN

UTUSAN Malaysia sanggup menggadaikan prinsip kebenaran dan kerukunan dalam masyarakat melalui laporan sesuatu berita asalkan mereka dapat mempertahankan Umno, dakwa Presiden Teras Keupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.


Menurut beliau, pemberitaan Utusan juga mencetuskan prasangka buruk antara kaum dan agama sehingga menimbulkan keadaan yang tidak harmoni yang boleh mengancam keselamatan negara.Dengan ini katanya, Utusan juga bermain dengan bom jangka, yang mewujudkan keadaan boleh mencetuskan rusuhan dan sebagainya di luar kawalan.

Azmi menegaskan, Umno-BN dilihat cuba mengetepikan segala perlembagaan dan undang-undang serta menggantungnya supaya mereka dapat memegang kuasa mutlak.

"Utusan dan Umno menggunakan apa sahaja pemberitaan dan pengedaran maklumat itu untuk menunjukkan bahawa negara ini sudah tidak stabil.
"Bila tidak stabil mereka boleh membuat apa-apa sahaja termasuk menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan darurat dan dengan itu mereka akan mengekalkan kuasa," katanya.

Menurut beliau, tindakan Utusan Malaysia mengambil berita daripada blog dan menjadikannya paparan muka hadapan menunjukkan kewartawanan atau jurnalisme mereka sudah parah.

Katanya, teknik pemberitaan akhbar yang dicedok daripada sumber yang tidak disiasat dan gagal mendapatkan gambaran sebenar, bukti mereka ketandusan berita untuk berhujah dengan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Utusan meletakkan akhbar itu di tempat yang paling bawah dengan cara tidak profesional dan beretika.

Mereka katanya, sedang bermain dengan kewartawanan yang sangat bahaya kerana gaya pemberitaannya sengaja dilakukan serta mencari maklumat lain seolah-olah laporan itu adalah sesuatu yang benar.

Ini merupakan sesuatu yang tidak beretika dan bahaya kerana apa yang diceduk adalah bahan yang menyentuh kepada hal sensitif yang boleh mewujudkan ketegangan kaum serta agama.

Azmi mendakwa, Utusan bukan lagi menjadi akhbar massa tetapi telah bertindak sebagai akhbar Umno dengan melakukan apa sahaja bagi mempertahankan parti itu tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat dan sensitiviti masyarakat.
"Apa sahaja yang diarahkan Umno, Utusan akan lakukan serta dilindungi daripada diambil sebarang tindakan walaupun menyalahi undang-undang.

"Mereka juga menggunakan isu agama bukan kebetulan, tetapi sengaja mencari melaporkan begitu kerana melihat ia mampu menyentuh jiwa orang Melayu dengan cara mengeksploitasinya," katanya.

Azmi berkata, walaupun maklumat yang disiarkan palsu dan tidak mempunyai asas mereka meneruskan pemberitaan itu sehingga minda orang Melayu merasa cemas dan gempar dengan harapan mereka hanya bergantung kepada Umno semata-mata.

Beliau juga mengecam Utusan dengan menyifatkan media itu sebagai murahan bukan sahaja menjatuhkan aib seseorang tetapi cuba mencetuskan rasa takut di kalangan rakyat.

Ini menunjukkan maruah Utusan itu sendiri telah digadai dan tidak boleh lagi bertahan sebagai akhbar massa, tegas Azmi.

No comments:

Post a Comment