KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Saturday, November 29, 2014

Presiden Umno mungkir janji dan tiada pendirian

Oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
Merujuk Presiden Umno dalam ucapannya semasa Perhimpunan Agung Umno hari ini, bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan untuk penambahbaikan, saya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tersebut.

1. Pada 11 Julai 2012 Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah berikrar untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional atas alasan Akta Hasutan tidak lagi relevan. Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi relevan pula?


2. Sehubungan itu apabila Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dibentuk sendiri oleh Jabatan Perdana Menteri, MPKN melalui Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar telah diminta oleh pihak Jabatan Perdana Menteri untuk memberi input kepada undang undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan.


3. Pihak Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar telah pun menyediakan input dan mengadakan siri rundingan awam supaya undang-undang baru yang dinamakan RUU Keharmonian Nasional dapat disediakan. Bahkan draf tersebut sudah pun diserahkan kepada majlis penuh MKPN dan pihak Jabatan Perdana Menteri.

4. Dengan memperkukuhkan Akta Hasutan, Presiden Umno dalam ucapannya telah mengirimkan isyarat yang salah bahawa undang-undang penjajah ini perlu dikekalkan sedangkan suasana hari ini menuntut undang-undang negara lebih releven dan menepati zaman.

5. Secara substantif, Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah kepada salahguna maksud menghasut dan mengancam, sedangkan akta baru yang dicadangkan mengetatkan tahap pembuktian dan bagi memelihara pada waktu yang sama kebebasan bersuara.

6. PAS dalam muktamarnya yang lalu turut meluluskan usul sebulat suara supaya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik untuk memelihara kepentingan keharmonian nasional.

Ternyata dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri ini membuktikan beliau tidak mempunyai pendirian tetap dan telah mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan yang telah diikrarkannya sebelum ini.

Lebih malang, apakah Perdana Menteri telah tunduk kepada golongan ekstrimis dalam Umno yang mahukan Akta Hasutan ini dikekalkan?

* Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara.

No comments:

Post a Comment