KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Wednesday, September 22, 2010

Perjuangan NUJ bebaskan akhbar dari politik

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari hari ini membidas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang sebagai "sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak relevan".

"Sebagai Presiden NUJ Malaysia, jiwa dan raga saya hanya untuk kesatuan serta mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

"Bagi NUJ Malaysia, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan dan melaksanakan tanggungjawab tanpa memihak atau cenderung kepada mana-mana pihak atau parti politik baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat," kata Hata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai wartawan profesional yang bertugas lebih 15 tahun di Utusan Malaysia dan mengetuai sebuah pertubuhan profesional maka "tindak tanduk NUJ Malaysia melebihi sempadan serta tidak termaktub kepada kongkongan mana-mana pihak".

"Sebagai wartawan profesional, saya merupakan pekerja yang setia dengan akhbar Utusan Malaysia untuk mendokong prinsip-prinsip asas yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas akhbar tersebut yang sememangnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik.


"Kenyataaan yang dikeluarkan oleh Mohd Zahid yang melihat saya cenderung kepada parti pembangkang jelas menunjukkan PERKASA memihak kepada parti politik dan tentunya parti itu adalah Barisan Nasional"," katanya.

Sehubungan itu, Hata menasihatkan PERKASA supaya menjaga ahli-ahlinya dan laksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli dan "tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti politik".

Hata mengulas laporan berhubung kenyataan Mohd Zahid yang mahu beliau membuat penjelasan apakah beliau seorang penyokong tegar pembangkang.

Mohd Zahid dilapor mendakwa banyak cakap-cakap dalam industri media yang mengaitkan Hata sebagai penyokong tegar pembangkang terutamanya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komen beliau dalam laman sosial Facebook didakwa bernada pro-pembangkang.


Dalam kenyataan itu juga, Hata turut menegaskan bahawa NUJ - yang mempunyai seramai 1,335 ahli - merupakan sebuah pertubuhan yang bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin-pemimpin politik lain.

"Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961," katanya .M/Kini

No comments:

Post a Comment