KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Monday, July 25, 2011

Apa yang dimaksudkan dengan media bebas semasa pilihan raya?

Oleh Abu Firdaus

Pertama-tamanya yang perlu diambil perhatian ialah kebebasan media adalah tonggak kepada demokrasi. Sudah dapat difahami bahawa demokrasi bukan hanya mengadakan pilihan raya. Ia mestilah meliputi kebebasan menubuhkan pertubuhan termasuk parti politik. Kebebasan berhimpun dan tentyunya kebebasan bersuara. Apabila disebut bersuara, tentulah termasuk kebebasan menulis, membaca, mendengar dan menonton. Maknanya media wajib bebas dalam sebuah negara demokrasi.

Itulah yang berlaku di negara-negara Barat dan maju khususnya Britain yang menjadi penjajah negara ini, dan menjadi tanggungjawab demokrat untuknya membantu Tanah Melayu menjadi sebuah negara demokrat

Maka apabila menggubal perlembagaan, sememangnya diadakan cara-cara proses pilihan raya. Masalahnya ialah ketika penggubalan perlembagaan dan seterusnya mencapai kemerdekaan negara ini dalam keadaan Darurat. Justeru banyak pertimbangan Darurat perlu diambil kira dalam menjadikan tanah Melayu sebagai negara demokrat.

Maka akibatnya demokrasi di Tanah Melayu jadi tidak sempurna. Pertamanya oleh kerana Darurat, maka berlakulah Ordinan Darurat menyebabkan kebebasan biasa yang dikecapi oleh aktivis-aktivis politik mempunyai had yang boleh menjejaskan demokrasi itu sendiri.

Tetapi konsep darurat itu sendirui adalah ciptaan penjajah Britain. Apa yang berlaku sebenarnya adalah Perang Saudara antara pihak komunis dengan bukan komunis. Oleh kerana penjajah tidak mahu ekonomi negara terjejas, maka ia tidak mengisytiharkan perang tetapi sebaliknya dianggapkan sebagai Darurat. Maka dapat dilihat betapa orang ditahan tanpa perbicaraan atas nama keselematan.

Dalam keadaan begini, sudah tentu parti-parti politik tidak dapat benar-benar aktif. Mereka sentiasa dibayangi oleh undang-undang darurat. Banyak aktivis politik ditangtkap dan akibatnya organisasi-organisasi lumpuh. Perkara ini berlaku menjelang perisytiharan kemerdfekaan. Parti-parti seperti Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin lumpuh kerana aktivios-aktivisnya ditahan melalui undang-undang darurat.

Tentunya dalam keadaan begini juga media tidak bebas, iaitu demi keselamatan negara.

Sedangkan sepatutnya apabila Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka diisytiharkan dengan komitmen kepada demokrasi, maka sewajarnya media dibebaskan. Maksudnya di sini, sekurang-kurangnya media tidak memihak kepada kerajaan atau dikuasai oleh mana-mana parti politik.

Sebagai contoh ketika negara ini mencapai kemerdekaan, iaitu pada tahun 1957, hanya terdapat dua jenis media iaitu Radio Malaya dan akhbar-akhbar. Untuk memudahkan perbincangan, akhbar utama negara ketika itu ialah Utusan Melayu bertulisan jawi dan Berita Harian bertulisan rumi. Ada juga akhbar Melayu yang lain. Juga akhbar ldalam bahasa Inggeris, China dan Tamil. Tapi mereka perlu dilihat sebagai akhbar. Tetapi untuk memudahkan perbincangan, perhatian diberikan kepada akhbar Utusan Melayu dan Berita Harian dahulu.

.Radio Malaya adalah milik dan diuruskan oleh kerajaan. Sebagai negara yang mengikut Britain, maka cara Radio Malaya adalah menurut Radio BBC. Tetapi kalau Radio BBC itu badan bebas, walaupun ia milik awam, tetapi ai bukanlah suara kerajaan British. Tetapi Radio Malaya dilihat sebagai sebahagian daripada alat pro[paganda British dan kemudian kerajaan Kuala Lumpur untuk menentang komunis.

Sebab itulah Radio Malaya dan juga Unit Filem yang kemudian menjadi Filam Negara adalah sebahagian daripada alat propaganda bagi menentang komunis dalam konteks negara dalam peperangan. Maka media ini kena berpihak.

Begitu juga dwengan akhbar. Utusan Melayu. Ia merupakan akhbar perjuangan untuk orang Melayu, termasuklah menuntut kemerdekaan dan membela kepentingan Melayu. Atas nama Melayu dengan cogan kata Penyambung Lidah Melayu, akhbar ini membela orang Melayu secara umum dan tidak berpihak pada mana-mana parti.

Sungguhpun ketika itu kebanyakan wartawan Utusan Melayu adalah dari kalangan orang kiri tetapi ia memberi ruang yang setimpal kepada semua parti politik Melayu, baik UMNO, PAS, Parti Negara mahupun Parti Rakyat menjelang pilihan raya umum tahun 1959.

Berita Harian pula adalah terjemahan kepada The Straits Times yang walaupun dimiliki secara swasta tetapi adalah secara awal lagi memihak kepada penjajah British. Jadi, masa awal lagi, kedua-dua akhbar ini mempunyai agendanya. Utusan Melayu untuk orang Melayu dan The Straits Times untuk menjaga kepentingan penjajah. Namun kedua-duanya tidaklah memihak pada mana-mana parti politik.

UMNO menang dalam pilihan raya walaupun ekdua-dua akhbar itu tidaklah memihak pada mana-mana parti politik. Cumanya mungkin dapatb dipertimbangkan mana parti politik yang berkesan bagi membela orang Melayu dan juga penjajah British, sudah tentu kecenderongannya adalah kepada Perikatan UMNO-MCA-MIC.

Bagaimanapun, terdapat dua parti Melayu yang tidak disenangi oleh British ketika itu kerana mereka terang-terang menentang penjajahan dan dari segi fahaman, mempunyai sikap simpati kepada pihak sosialis. Mereka ialah PAS pimpinan Dr Burhanuddin AL-Hilmi dan Parti Rakyat pimpinan Ahmad Boestamam.

Penjajah mahu memastikan kedua-duia parti ini akan gagal. Masalahnya ialah wartawan Utusan Melayu ketika kebanyakannya penyokong Parti Rakyat. Maka langkah yang diambil adalah menyekat kegiatan parti-parti itu, menangkap opemimpin-pemimpinnya dan menghalang akhbar daripada dipengaruhi oleh golongan ini. Justeru, berlakulah pengambilalihan Utusan Melayu oleh UMNO.

Apabila media sudah dipegang dengan pelbagai sekatan lain, dapatlah penjajah British memastikan hanya parti-parti yang dikehendaki menang dalam pilihan raya. Maka Perikatan menang secara berterusan. Tetapi adakah pilihan raya ini benar0-benar demokratik? Malah bukan saja Daruiurat sudah berakhir, komunis pun sudah tanda tangan perjanjian damai, malah Kesatuan Soviet syudah tumbang dan China menjadi kapitalis, lebih penting lagi Britain pun sudah pulang, maka tidak ada sebab media hendak diurus dengan cara-cara Darurat dahulu.
Baca Seterusnya......

Sunday, June 26, 2011

Tapis internet untuk jaga moral atau rejim?

Ketika kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, masih diraikan dan menjadi tumpuan media, kerajaan popular pimpinan Recep Tayyip Erdogan itu memulakan satu langkah penapisan internet, yang berpotensi menjejaskan imejnya di peringkat antarabangsa.

AKP kini memulakan langkah penapisan internet besar-besaran, melibatkan pendaftaran pengguna internet di negara itu untuk menguruskan penapisan, yang didakwa berasaskan alasan moral.

Hal ini semakin menjadi perhatian sehingga mendorong Presiden Abdullah Gul mengadakan satu pertemuan baru-baru ini dengan pengerusi ekskutif Google, Eric Schmidt yang menumpukan pada isu-isu antarabangsa melibatkan Google.

Penapisan internet menjadi isu sensitif dalam iklim dunia yang liberal dan menyaksikan soal-soal demokratik semakin menjadi topik utama.

Masa tindakan kerajaan AKP itu, yang dimulakan ketika dunia politik Asia Barat sedang menyaksikan kebangkitan rakyat, menimbulkan persoalan berhubung motif sebenar tindakan penapisan itu.

Sebelum ini, beberapa negara serantau termasuk Mesir melaksanakan sekatan internet ketika berlaku kebangkitan rakyat, untuk menyekat penyebaran maklumat yang negatif untuk rejim.

Walaupun alasannya moral, kuasa yang diperolehi boleh sahaja membenarkan sekatan terhadap penentangan kerajaan apabila sesuatu seperti kebangkitan disaksikan di rantau Arab berlaku di Turki.

Walau bagaimanapun, pendirian konservatif AKP dalam isu sosial boleh menjadi asas tindakan ini, yang disebut oleh Gul dan beberapa pemimpin lain sebagai usaha memelihara keluarga dan moral masyarakat.

Tindakan ini memperlihatkan realiti had kebebasan yang menjadi pegangan banyak pihak, walaupun melibatkan kerajaan yang dinilai ramai sebagai liberal dan demokratik.

Hal ini menimbulkan persoalan keperluan penapisan yang melibatkan moral, yang boleh mendapat sokongan ramai, terutama dalam masyarakat konservatif.

Di Malaysia, soal penapisan internet juga menjadi soal sensitif yang menuntut pengimbangan antara soal moral masyarakat dan sekatan maklumat oleh rejim pemerintah.

Laman lucah dan bahan-bahan yang negatif mempunyai sebab yang kuat untuk disekat, kerana pelbagai kepentingan melibatkan masyarakat.

Walau bagaimanapun, isu ini masih dinilai kontroversi yang menghalang kebebasan oleh sesetengah pihak dengan mengatasnamakan kebebasan.
Soal penting di sini ialah ciri yang ditentukan untuk mengawal akses internet yang dikait dengan moral itu, satu ciri yang mempunyai sifat yang jelas berbanding isu politik yang terbuka untuk ditafsir oleh pihak yang berkuasa.
Baca Seterusnya......

Tuesday, May 24, 2011

Kebebasan media hanya untuk pemerintah

KEBEBASAN akhbar yang sebenar tidak ada di negara ini kerana terlalu banyak undang-undang yang mengekang elemen kebebasan itu dari hidup subur, dakwa bekas wartawan veteran, Said Zahari.

Beliau diminta mengulas mengenai sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diraikan pada 3 Mei lalu.Katanya, selagi mana akta-akta seperti OSA, ISA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak masih wujud kebebasan tidak akan dapat direalisasikan sampai bila-bila pun, melainkan ia menguntungkan pihak kerajaan dan sekutunya.

"Malah saya lihat akhbar di Malaysia selama ini tidak pernah membincangkan tentang kebebasan akhbar ditambah pula dengan isu kebebasan persuratkhabaran ini tidak banyak diperkatakan orang.

"Kita dapat lihat ramai yang berpendapat wujud atau tidak kebebasan akhbar tidak memberikan kesan kepada negara ini," ujarnya kesal.

Mengulas lanjut mengenai kebebasan sebenar, penerima tokoh Anugerah Kewartawanan itu berkata ianya banyak bergantung kepada sejauh mana kebebasan wartawan boleh menulis tanpa sebarang sekatan dan halangan.
Baca Seterusnya......

Sunday, May 22, 2011

Utusan cetus keadaan tidak harmoni untuk kekal kuasa

Oleh Mohamad Shafri Shamsudin

Utusan Malaysia dilihat sanggup menggadaikan prinsip kebenaran dan kerukunan dalam masyarakat dalam laporan sesuatu pemberitaan asalkan mereka dapat mempertahankan Umno, kata presiden Teras Keupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurut beliau pemberitaan Utusan juga mencetuskan berperasangka sesama rakyat antara satu kaum dan agama hingga menimbulkan keadaan yang tidak harmoni yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dengan ini katanya Utusan juga bermain dengan bom jangka, yang mewujudkan keadaan boleh mencetuskan rusuhan dan sebagainya diluar kawalan.

Katanya Umno dan BN dilihat cuba mengetepikan segala perlembagaan dan undang-undang serta menggantungnya supaya mereka dapat memegang kuasa mutlak.

"Utusan dan Umno menggunakan apa sahaja pemberitaan dan pengedaran maklumat itu untuk menunjukkan bahawa negara ini sudah tidak stabil.

"Bila tidak stabil mereka boleh membuat apa-apa sahaja termasuk menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan darurat dan dengan itu mereka akan mengekalkan kuasa," katanya.

Menurutnya tindakan Utusan Malaysia mengambil berita daripada blog dan menjadikannya paparan muka hadapan menunjukkan kewartawanan atau jurnalisme mereka sudah parah.

Katanya teknik pemberitaan akhbar yang diceduk daripada sumber yang tidak disiasat dan gambaran sebenar, bukti mereka ketandusan berita untuk berhujah ddengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya dalam masa yang sama Utusan meletakkan akhbar itu di tempat yang paling bawah dengan cara tidak profesional dan beretika.

Mereka katanya sedang bermain dalam kewartawanan yang sangat bahaya kerana gaya pemberitaannya sengaja dilakukan serta mencari maklumat lain seoalah-olah laporan itu adalah sesuatu yang benar.

Ini merupakan sesuatu yang tidak beretika dan bahaya kerana apa yang diceduk adalah bahan yang menyentuh kepada hal sensatif yang mewujudkan ketegangan antara kaum serta agama.

Beliau juga melitah Utusan bukan lagi menjadi akhbar massa tetapi telah bertindak sebagai akhbar Umno dengan melakukan apa sahaja bagi mempertahankan parti itu tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat dan sensitiviti masyarakat.

"Apa sahaja yang diarahkan Umno, Utusan akan lakukan serta dilindungai daripada diambil sebarang tindakan walaupun menyalahi undang-undang.

"Mereka juga menggunakan isu agama bukan kebetulan, tetapi sengaja mencari maklumat begitu kerana melihat ia mampu menyentuh jiwa orang Melayu dengan cara mengeksploitasinya," katanya.

Mohd Azmi berkata walaupun maklumat yang disiarkan palsu dan tidak mempunyai asas mereka meneruskan pemberitaan itu sehingga minda orang Melayu merasa cemas dan gempar dengan harapan mereka hanya bergantung kepada Umno semata-mata.

Beliau juga mengecam Utusan dengan menyatakan media itu sebagai akhbar itu sebagai murahan bukan sahaja menjatuhkan aib seseorang tetapi juga untuk mempertahankan kuasa Umno.

Ini menunjukkan maruah utusan itu sendiri telah digadai dan tidak boleh lagi bertahan sebagai akhbar massa.
Baca Seterusnya......

Selamatkan media berkecuali Malaysia

Oleh Yow Chong Lee

Ramai yang terkejut apabila Merdeka Review mengistiharkan penamatan operasinya semalam. Hal ini kerana Merdeka Review merupakan antara media berkecuali yang memainkan peranan penting dalam proses memperkasakan sistem demokrasi tanah air.

Namun, atas sebab ketiadaan dana yang diperlukan untuk menlaksanakan tanggungjawab ini, Merdeka Review terpaksa mengumumkan penamatan operasi mereka yang bermula pada hujung bulan ini.

Seperti yang sedia maklum, media berkecuali memainkan peranan yang mustahak untuk memantau pihak berkuasa (parti pemerintah) mahupun pihak pembangkang agar menjamin keberkesanan kuasa-kuasa politik dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, Merdeka Review seringkali menemui pelbagai rintangan daripada pihak berkuasa dan parti pembangkang yang menganggap Merdeka Review sebagai “musuh ketat” kepada mereka.

Pada hari yang sama, penyokong media berkecuali di Malaysia telah dimaklumkan dengan berita yang cukup menceriakan mereka, yakni Malaysiakini telah berjaya mencatat bilangan pembaca (pengguna) yang paling ramai berbanding dengan media arus perdana lain yang turut menyajikan berita mereka di laman sesawang.

Berita ini adalah perkara yang cukup memerangsangkan buat penyahut media berkecuali yang haus dengan berita, analisa dan pandangan yang berbeza dengan media arus perdana yang seringkali dikaitkan dengan perutusan daripada pihak kerajaan.

Akta-akta seperti PPPA, OSA, ISA yang sedia ada, dengan berkesan, telah menggugat ketelusan dan kebebasan media Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Bukan itu sahaja, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kelihatan kurang adil semasa mengendalikan kes-kes yang melibatkan media Malaysia secara implisitnya telah memburukkan lagi keadaan.

Hal ini jelas terbukti melalui tindakan “double standard” KDN terhadap laporan Utusan Malaysia berkenaan dengan isu “Kristian Agama Rasmi?” negara serta tindakan yang diambil terhadap Malaysiakini berhubungan dengan liputan isu kepala lembu yang telah menggemparkan rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan perkara ini, media arus perdana telah dijinakkan atau lebih teruk lagi, membiasakan diri mereka dengan laporan berita yang menyenangkan pihak berkuasa.

Secara tidak langsung, media arus perdana telah meminjam tangan mereka kepada pihak berkuasa lalu menjejaskan prestasi mereka kerana laporan mereka bagaikan perutusan yang telah dirancang dan didraf oleh kerajaan Barisan Nasional.

Dengan kata lain, pandangan-pandangan yang bertentangan dengan pihak berkuasa amat tidak digalakkan dan lazimnya ditutup daripada pengetahuan ramai.

Perkara ini amat merugikan masyarakat yang memerlukan kepelbagaian pendapat dalam menjamin proses demokrasi yang sihat. Masyarakat perlu dimaklumkan dengan pelbagai maklumat dan pandangan untuk membuat pilihan yang terbaik buat mereka.

Sejak penubuhannya pada lima tahun yang lepas, Merdeka Review tidak pernah henti menyediakan laporan dan analisa yang kritis serta berbeza dengan media arus perdana yang lain.

Namun, semua ini hanyalah kenangan semata-mata buat pencinta media berkecuali tanah air sekiranya Merdeka Review tidak mampu mendapat sumbangan kewangan yang amat diperlukan untuk meneruskan operasi mereka.

Dengan ini, saya menyeru agar pembaca Malaysiakini dan penyahut media berkecuali agar memberikan bantuan kepada Merdeka Review.

Antara bantuan yang boleh diberikan termasuk menyebarkan perkara ini kepada khalayak ramai agar membangkitkan kesedaran akan kepentingan media berkecuali seperti Merdeka Review lalu memberi sumbangan kewangan kepada mereka. “Anda boleh derma melalui akaun bank berikut:

Hong Leong Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No akaun: 04001025891)
EON Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No.akaun: 0595110002973)
Maybank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No. akaun: 514440123099)”

Sumbangan anda amat dialu-alukan. Dengan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih buat sumbangan yang bakal anda berikan. Sekian.
Baca Seterusnya......

Monday, May 16, 2011

Media murahan: Aibkan orang, cetuskan rasa cemas

Oleh M SHAFRI SHAMSUDIN

UTUSAN Malaysia sanggup menggadaikan prinsip kebenaran dan kerukunan dalam masyarakat melalui laporan sesuatu berita asalkan mereka dapat mempertahankan Umno, dakwa Presiden Teras Keupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.


Menurut beliau, pemberitaan Utusan juga mencetuskan prasangka buruk antara kaum dan agama sehingga menimbulkan keadaan yang tidak harmoni yang boleh mengancam keselamatan negara.Dengan ini katanya, Utusan juga bermain dengan bom jangka, yang mewujudkan keadaan boleh mencetuskan rusuhan dan sebagainya di luar kawalan.

Azmi menegaskan, Umno-BN dilihat cuba mengetepikan segala perlembagaan dan undang-undang serta menggantungnya supaya mereka dapat memegang kuasa mutlak.

"Utusan dan Umno menggunakan apa sahaja pemberitaan dan pengedaran maklumat itu untuk menunjukkan bahawa negara ini sudah tidak stabil.
"Bila tidak stabil mereka boleh membuat apa-apa sahaja termasuk menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan darurat dan dengan itu mereka akan mengekalkan kuasa," katanya.

Menurut beliau, tindakan Utusan Malaysia mengambil berita daripada blog dan menjadikannya paparan muka hadapan menunjukkan kewartawanan atau jurnalisme mereka sudah parah.

Katanya, teknik pemberitaan akhbar yang dicedok daripada sumber yang tidak disiasat dan gagal mendapatkan gambaran sebenar, bukti mereka ketandusan berita untuk berhujah dengan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Utusan meletakkan akhbar itu di tempat yang paling bawah dengan cara tidak profesional dan beretika.

Mereka katanya, sedang bermain dengan kewartawanan yang sangat bahaya kerana gaya pemberitaannya sengaja dilakukan serta mencari maklumat lain seolah-olah laporan itu adalah sesuatu yang benar.

Ini merupakan sesuatu yang tidak beretika dan bahaya kerana apa yang diceduk adalah bahan yang menyentuh kepada hal sensitif yang boleh mewujudkan ketegangan kaum serta agama.

Azmi mendakwa, Utusan bukan lagi menjadi akhbar massa tetapi telah bertindak sebagai akhbar Umno dengan melakukan apa sahaja bagi mempertahankan parti itu tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat dan sensitiviti masyarakat.
"Apa sahaja yang diarahkan Umno, Utusan akan lakukan serta dilindungi daripada diambil sebarang tindakan walaupun menyalahi undang-undang.

"Mereka juga menggunakan isu agama bukan kebetulan, tetapi sengaja mencari melaporkan begitu kerana melihat ia mampu menyentuh jiwa orang Melayu dengan cara mengeksploitasinya," katanya.

Azmi berkata, walaupun maklumat yang disiarkan palsu dan tidak mempunyai asas mereka meneruskan pemberitaan itu sehingga minda orang Melayu merasa cemas dan gempar dengan harapan mereka hanya bergantung kepada Umno semata-mata.

Beliau juga mengecam Utusan dengan menyifatkan media itu sebagai murahan bukan sahaja menjatuhkan aib seseorang tetapi cuba mencetuskan rasa takut di kalangan rakyat.

Ini menunjukkan maruah Utusan itu sendiri telah digadai dan tidak boleh lagi bertahan sebagai akhbar massa, tegas Azmi.
Baca Seterusnya......

Jangan guna ISA, AMCP kepada Utusan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Utusan Malaysia memang kebal. Ya... apalah nak dihairankan, bukankah Utusan dan Umno sukar dicerai tanggal, berpisah tiada? Ketua Pengarang Kumpulannya, Aziz Ishak hanya mendapat surat teguran daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun paparan berita utamanya pada 7 Mei lalu dilihat telah menimbulkan keributan dan kegemparan.

Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) cukup tidak gemar dengan hasil penerbitan "yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai" tetapi apabila ia membabitkan Utusan, segalanya okey, 'kan?

Seksyen 8 dan 73, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) memberi kuasa kepada menteri dan polis untuk menahan mana-mana orang yang "telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan negara", tetapi ia hanya digunakan kepada seteru politik Umno-BN sahaja, 'kan?

Seksyen 3, Akta Hasutan 1948, antara lain mentafsirkan "kecenderungan menghasut" ialah "kecenderungan bagi mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia", tetapi pentafsiran akta ini bergantung rapat dengan kehendak politik penguasa, 'kan?

Saya tidaklah faham sangat dengan undang-undang, terutama yang berkaitan dengan amalan kewartawanan di negara ini, termasuk Akta Fitnah 1957 dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. apatah lagi sepanjang terbabit dengan dunia penulisan hampir 30 tahun lalu, saya berpegang dengan nasihat agar "jangan merujuk kepada peraturan atau akta sebelum mula berkarya, nanti tiada apa yang boleh ditulis".

Lebih istimewa lagi, sehari selepas "hanya ditegur" KDN -- satu bentuk 'hukuman' yang paling ringan -- Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata 'ada asas' dalam laporan Utusan berhubung konspirasi bagi menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.
(Imuniti Utusan lebih terjamin berbanding The Star dan Sunday Star, milik MCA, yang pernah digantung pada Oktober 1987 ekoran Operasi Lalang).

Beliau merujuk kepada laporan polis terbaru yang dibuat di Pulau Pinang, pada 13 Mei, yang khabarnya dapat mengukuhkan lagi berita muka depan Utusan 7 Mei. Ini bukan kali pertama sikap memihak Hishammuddin terserlah. Ketika video seks yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim mula ditayangkan, awal-awal lagi beliau menyalahkah Ketua Pembangkang itu.

Pihak polis pula seperti melupakan orang yang membuat tuduhan palsu (blogger) dan pihak yang menghebahkannya (Utusan). Amat memalukan apabila Utusan, seperti kata pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah, hanya bersandarkan rujukan yang sangat daif dan lemah, iaitu blog peribadi yang diragui wibawanya. Dakwaan itu tidak diperkuatkan dengan sumber yang kukuh dan jelas, sebaliknya lebih bersifat tohmahan, tuduhan, prasangka dan prejudis.


"Tentulah perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan etika dan disiplin kewartawanan, malah tidak pernah digunakan dalam mana-mana amalan media profesional dan intelektual lainnya, yakni dengan menumpang sejenis tulisan prasangka sebagai sumber utama," ujarnya, sambil menambah ia "kemalangan besar buat maruah sebuah akhbar perdana."


Banyak pihak tidak berpuas hati dengan tindakan KDN terhadap Utusan, termasuk daripada kalangan komponen BN sendiri. Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar. Baginya, teguran KDN ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.

Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon mahu pihak polis menyiasat kebenaran laporan Utusan itu. Baginya, adalah tidak benar bagi sesebuah akhbar melaporkan sesuatu berita hanya berdasarkan khabar angin. Tambahnya, tindakan melaporkan sesuatu secara berlebih-lenih boleh mengakibatkan ketegangan antara agama, mengganggung keharmonian dan menggugat perpaduan rakyat.

Tidak kurang juga desakan agar editor Utusan ditangkap ISA, selain akhbar itu digantung atau diharamkan. Kerajaan negeri Pulau Pinang memfailkan satu aduan rasmi mendesak KDNM mengambil tindakan terhadap Utusan. Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dun sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.

Keengganan mengambil tindakan terhadap cetusan berbahaya Utusan menunjukkan Umno terlibat secara langsung dengan laporan itu, kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar. "Bila Suara Keadilan siarkan berita Felda mungkin bankrap, begitu pantas KDN menggantung permit akhbar itu. Tetapi bila Utusan siarkan berita tanpa bukti kononnya Kristian hendak dijadikan agama rasmi yang jelas boleh mencetuskan rusuhan antara agama dan kaum, Menteri Dalam Negeri bukan sahaja tidak mengambil tindakan, malah memberi respon yang dilihat menyokong perbuatan Utusan itu," tambahnya.

Sebelum itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari, ketika bercakap kepada Free Malaysia Today, mendakwa agenda mingguan Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipengerusikan Najib Razak. Wartawan kanan Utusan yang dipecat itu berkata, agenda dalam mesyuarat itu akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.

Secara peribadi, saya membantah apa jua saranan agar ISA digunakan kepada wartawan, selain tidak bersetuju AMCP diperalatkan untuk mengharamkan atau menggantung akhbar, termasuk kepada Utusan. Malah saya sejak sekian lama berusaha melobi agar akta-akta drakonian itu dimansuhkan sama sekali. Kedua-dua akta itu memberikan kuasa mutlak kepada menteri untuk mengambil apa-apa tindakan perlu, dengan mengetepikan fungsi mahkamah dan menafikan hak membela diri.

Saya yakin banyak lagi undang-undang lain yang boleh dirujuk bagi mengadili Utusan, misalnya kanun kesiksaan, asalkan bukan ISA dan AMCP. "Permainan" Utusan memang merbahaya, sekali gus mengundang sengketa dan permusuhan di atas imiginasi jahat. Saya lebih suka "hukuman" ke atas Utusan dibuat oleh pasaran atau pembaca, bukannya melalui penguatkuasaan undang-undang zalim.

Apa pun, kemunafikan KDN jelas sekali. Jika membabitkan media bebas atau propembangkang, hukuman paling berat dijatuhkan tanpa sebarang belas kasihan. Keangkuhan Seksyen 13B AMCP terus menjerut, iaitu peruntukan "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan lesen atau permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan lesen atau permit".

Kepada media talibarut BN, segalanya dibolehkan, dan kalaupun ada desakan daripada publik, tindakan sekadar "teguran". Janganlah bermimpi untuk melihat Utusan digantung, apatah lagi diharamkan, hatta untuk mendengar wartawan atau ketua pengarangnya digantung tugas pun mustahil berlaku.

Hipokrasi ini akan terus berlanjutan. Ini baru babak-babak awal, plotnya akan berkembang menjadi lebih mendebarkan. Harapnya anda jangan terkejut. Putar-belit, penipuan, pendustaan sudah menjadi kelaziman Najib dan Umno-BN. Ingat, PRU13 penentu hayat politiknya.
Baca Seterusnya......

Sunday, May 15, 2011

Najib restui agenda jahat Utusan Malaysia

Oleh HUSAM MUSA

Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri bahawa teori menukar kedudukan Islam dalam perlembagaan negara adalah tidak wujud.Trend Utusan Malaysia mempermainkan api perkauman dan agama – terakhir isu konspirasi Kristian – jelas membahayakan keamanan negara dan kemakmuran hidup masyarakat majmuk Malaysia.Ia tidak membantu menguatkan Islam bahkan sebaliknya memercikkan api yang boleh melemahkan negara dan kedudukan Islam di negara ini.

Tepat sepertimana disebut Perdana Menteri sendiri,“...semua pihak mesti membendung perasaan emosi untuk tidak membuat perkara yang boleh mengganggu-gugat keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negara.”
(Perdana Menteri; Berita Harian 12 Mei 2011)

Persoalannya, jika Perdana Menteri sedar gerakan ini membahayakan negara, kenapa Utusan Malaysia bebas menjadi ‘anak nakal’ yang tidak bertanggungjawab menabur api fitnah sesuka hati?

Jika kenyataan Hatta Hawari, wartawan Utusan Malaysia yang terpecat kerana membongkarkan agenda politik Utusan Malaysia yang jelek dalam rangka mengekalkan UMNO/BN terus berkuasa dijadikan asas, jelas wujud persekongkolan antara Utusan Malaysia dan UMNO.

Adakah kerana itu Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia tidak bertindak terhadap Utusan Malaysia?

Ini bermakna, Perdana Menteri selaku presiden UMNO sebenarnya merestui agenda Utusan Malaysia. Perdana menteri bermain dua watak sekaligus dan membawa dua pancing satu umpan.

Pada satu pihak, Utusan Malaysia bertindak bagi pihak UMNO menimbulkan sentimen terancam (fear psychology) iaitu supaya orang Melayu kekal menyokong UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang, sama seperti sentimen dari isu ‘tengkolok bersalib’ yang dikenakan ke atas Tengku Razaleigh Hamzah menjelang PRU-1990 yang lalu.

Namun apabila agenda ini bergerak memakan tuan dan langkah Utusan Malaysia ditolak oleh majoriti rakyat, Perdana Menteri mengambil watak bersikap lebih sederhana dan pertengahan.

Sikap talam dua muka dengan isu sensitif ini dikuatkan dengan tiada sebarang tindakan tegas diambil ke atas Utusan Malaysia.

Dengan itu, boleh dipastikan Utusan Malaysia akan terus-menerus menggunakan kad perkauman dan agama menjelang pilihanraya umum akan datang.

Suka saya mengingatkan, langkah ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang menggunakan provokasi kaum dan agama. Larangan memaki hamun sembahan yang lain yang boleh menimbulkan kebencian agama seperti firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An’am, ayat 108 boleh dijadikan contoh.

وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللّهِ فَيَسُبُّواْ اللّهَ عَدْواً بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ ”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”
Langkah Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab untuk tidak bersolat dalam gereja Kristian walaupun dijemput berbuat demikian dalam peristiwa pembukaan Baitul Maqdis dengan tujuan mengelakkan persengketaan merebut rumah ibadah, juga boleh dijadikan contoh penghormatan beragama yang diberikan oleh Islam untuk mewujudkan keharmonian dalam sesebuah negara.

Tindakan Utusan Malaysia yang provokatif dan sikap berlepas tangan Perdana Menteri, adalah sama sekali menyalahi ajaran Islam dan berbahaya kepada norma kerukunan masyarakat Malaysia pada keseluruhannya.

Ini adalah politik Machiavelli pada peringkat yang tertinggi.

Saya selaku rakyat merakamkan rasa kesal terhadap perkembangan ini.
Baca Seterusnya......

Pendedahan Hata Wahari dan politik talam dua muka

Oleh Ooi Heng

Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia (Utusan) Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik UMNO yang dipimpin Presiden Najib Razak pasti menakjubkan pelbagai pihak!

Semenjak zaman reformasi, komentari pelbagai pihak sama ada oleh ahli akademik, ahli politik, wartawan, penganalisa politik, aktivis masyarakat atau pihak lain telah membentuk "common sense" dalam kalangan masyarakat yang prihatin terhadap isu kebebasan media dan politik negara, bahawa Utusan bagaikan "lidah rasmi UMNO". Kini seorang bekas wartawan kanan Utusan telah membuktikan kesahihan "common sense" tersebut.

Kalau kecenderungan komentari selama ini melihat kawalan terhadap Utusan dari segi pemilikan syarikat dan "consumption" atau pemaparan berita saban hari, kini Hata Wahari membekalkan perspektif kawalan terhadap Utusan dari segi "production" atau penetapan agenda secara langsung dan tidak langsung oleh Biro Politik UMNO pimpinan Najib.

Betapa munafiknya PM

Pendedahan Hata Wahari sekali gus membuktikan betapa munafik seorang Perdana Menteri yang kononnya berazam membawa gagasan 1Malaysia jitu kepada rakyat jelata malahan berbicara tentang idea 1ASEAN tanpa segan silu semasa berucap pada Forum Kepemimpinan ASEAN kelapan baru-baru ini, seolah-olah retorik 1Malaysia yang penuh dengan bayangan politik fitnah dan unsur-unsur ekstrem dapat dijadikan inspirasi kepada negara-negara rantau ASEAN.

Kalau selama ini Najib cuba membentuk imej diri sebagai "Bapa Transformasi" melalui pengumuman pelbagai pelan transformasi dan penonjolan gagasan 1Malaysia yang kononnya mementingkan "prinsip pertengahan" (moderation) serta perpaduan, dan bertentangan dengan sifat ekstrem sesetengah organisasi seperti PERKASA atau komen pemimpin politik seperti Muhyiddin Yasin, kini pendedahan Hata Wahari menunjukkan bagaimana manusia bernama Najib dan organisasi bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu memainkan politik talam dua muka.

Politik talam dua muka ini cuba memaparkan Najib sebagai pemimpin yang membawa gagasan pertengahan sementara tindakan dan komen ekstrem PERKASA dan pemimpin politik UMNO yang lain adalah bertentangan dengan prinsip Najib, maka bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh Najib.

Pendedahan Hata Wahari memungkinkan perspektif berlainan dalam memahami politik talam dua muka yang dimainkan oleh Najib dan UMNO. Berikutan itu, pelbagai soalan timbul. Antaranya, selain Najib, Muhyidin, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamudin Husein, Safie Apdal, Tengku Adnan Mansor dan Ahmad Maslan yang berada dalam mesyuarat penetapan agenda Utusan, siapa lagi yang berkomplot dengan pemimpin UMNO dalam menjayakan agenda politik UMNO-Utusan?

Kalau diteliti pelbagai isu hangat yang dipelopori Utusan termasuk isu agama dan isu fitnah video seks, kemusykilan timbul berhubung peranan aktor tertentu seperti pimpinan PERKASA serta Datuk T dan hubungan mereka dengan UMNO-Utusan.

Talam dua muka

Antaranya, apakah politik talam dua muka memainkan peranan dalam pemaparan berita palsu Utusan bertajuk "Kristian agama rasmi?" yang dilaporkan pada 7 Mei 2011? Apakah Presiden PERKASA Ibrahim Ali yang mendakwa bahawa komunis di sebalik tabir agenda tersebut juga memainkan peranan dalam politik talam dua muka? Bagaimana pula dengan komplotan politik fitnah video seks?

Kini, susulan keputusan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta Menteri Dalam Negeri "mengambil tindakan keras ke atas laporan palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7 Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian", apakah Hishammuddin akan mengambil tindakan keras terhadap Utusan?

Sementara kita menyaksikan perkembangan seterusnya, otak durianku terfikir membicarakan hubungan antara media dan kuasa pemerintah serta pembentukan kuasa media dalam konteks yang lebih luas.

Kekompleksan kuasa media dapat ditonjolkan dari pelbagai aspek. Keunikan Utusan adalah fakta bahawa pemilikan dan penetapan agenda oleh UMNO jelas menjadikannya "suara UMNO", bukan sebagai suara masyarakat kepelbagaian etnik, ideologi dan pandangan yang menjadi hakikat Malaysia khususnya dalam era internet. "Suara UMNO" juga merujuk kepada suatu bentuk "kuasa politik-media" yang besar sehingga mampu melakukan fitnah atau pembohongan terhadap "musuh politik" dan "musuh peribadi".

Lantaran itu, Utusan tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Utusan hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan UMNO khususnya Najib yang terdesak kerana berdepan dengan tekanan pilihan raya umum akan datang sehingga menggunakan Utusan untuk memainkan politik fitnah dan politik talam dua muka.

Dewasa ini, Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya tidak lagi memerlukan Utusan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam dan di luar Malaysia. Namun tidak cukup sekadar menolak Utusan. Kita wajar menolak rejim pemerintah yang mahukan kawalan ketat terhadap media massa diteruskan. Kita juga wajar menolak mana-mana akhbar yang cuba mencontohi Utusan!

Akhbar bahasa Cina

Justeru, mentaliti dan hipokrisi sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina wajar dibangkitkan untuk menghalusi pemahaman kita apabila membicarakan kuasa media yang diperolehi Utusan khususnya dan media amnya.

Untuk berdekad lamanya khususnya selepas penggantungan permit penerbitan Sin Chew Jit Poh semasa Operasi Lalang 1987 dan dalam konteks Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (pindaan) 1987, barisan editor kanan sesebuah akhbar Bahasa Cina cenderung melihat laporan politik Utusan, Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) sebagai rujukan utama.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, apabila didapati wujud berita berkenaan sesuatu yang negatif terhadap pimpinan UMNO-Barisan Nasional atau sesuatu yang dikira sensitif, laporan Utusan, BH atau NST dijadikan rujukan. Apabila akhbar Utusan, BH atau NST memberikan liputan besar, hal ini bermaksud adalah selamat untuk akhbar Bahasa Cina melaporkan isu yang sama pada keesokan harinya.

Logiknya adalah bahawa laporan Utusan, BH dan NST melambangkan agenda UMNO, dan pengalaman akhbar Bahasa Cina yang kononnya lebih "vulnerable" berbanding dengan Utusan, BH dan NST yang mempunyai sokongan politik (rujuk kepada UMNO) yang kuat apabila berdepan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri.

Lantaran itu, akhbar seperti Utusan, BH dan NST dilihat sebagai memiliki kuasa politik yang "tidak dimiliki" akhbar Bahasa Cina. Maka setiap kali kritikan dilontar terhadap akhbar Bahasa Cina yang melakukan penapisan diri (self-censorship), laporan berita yang tidak beretika atau berkepentingan diri, logik sedemikian dibangkitkan untuk mematikan kritikan.

Dengan kata lain, apa yang cuba diutarakan adalah bahawa akhbar Bahasa Cina tidak bersekongkol dengan kuasa politik dan tidak membentuk "kuasa politik-media". Logik sedemikian mirip dengan hujah bahawa Najib yang "moderate" tidak bersekongkol dengan kuasa esktrem sedangkan komplotan kuasa sebenarnya mengambil tempat, cuma imej "pertengahan" Najib dperkukuh melalui pembentukan persepsi "kuasa politik-media".

Aspek yang jarang-jarang sekali dibincangkan adalah, yang berdepan malahan berkomplot dengan kuasa politik tidak terhad kepada Utusan, BH dan NST, akhbar Bahasa Cina juga bersekongkol dengan kuasa politik. Contoh klasik ialah hubungan komplotan sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina dengan pemimpin tertentu MCA yang begitu menonjol sekali semasa pertarungan politik berlaku sesama puak bertentangan dalam MCA.

Apa yang ingin dibicarakan di sini adalah, selain berdepan dengan kawalan politik, akhbar yang bersekongkol dengan rejim pemerintah juga membentuk kuasa politik sehingga mampu melancarkan serangan terhadap musuh rejim pemerintah dan individu atau golongan yang dianggap musuh peribadi editor kanan akhbar arus perdana tanpa check and balance.

Sesungguhnya, logik akhbar Bahasa Cina lebih "vulnerable" telah dijadikan alasan oleh editor kanan untuk berdekad lamanya sementera menikmati kepentingan tertentu melalui politik talam dua muka dalam kalangan editor akhbar arus perdana.

Sebab itu, setiap tahun apabila terbaca bicara editor kanan akhbar arus perdana mengenai kepentingan kebebasan media sempena hari kebebasan akhbar sedunia, otak durianku akan membisik kepada diriku, jangan kita terpedaya dengan politik talam dua muka editor kanan akhbar yang bersekongkol dengan kuasa establishment!

Sesungguhnya, hubungan komplotan sedemikian telah memperkukuh cengkaman rejim pemerintah terhadap media. Malahan, apabila sesetengah wartawan bangkit atau masyarakat madani bergerak mempertahankan kebebasan media, hubungan komplot sedemikian menjadi halangan kepada perjuangan membebaskan media daripada kawalan ketat rejim pemerintah.


*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
Baca Seterusnya......

Utusan Malaysia Pemangkin Fikiran UMNO

Oleh Nasrudin bin Hassan

Kebelakangan ini, Utusan Malaysia bagai di"rasuk" dengan persembahan headline yang agak liar dan bersifat provokatif tanpa mengambil kira kesan langsung yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat seluruhnya. Jelas kelihatan seperti Utusan Malaysia tidak sabar - sabar mahu menunjukkan wajah sebenarnya sebagai alat misionery pihak tertentu apabila Utusan Malaysia bukan sahaja sanggup mengenepikan etika kewartawanan yang bernilai tinggi tetapi tergamak mempalit wajahnya dengan laporan bertaraf jalanan dan berita bertaraf lucah.

2. Saya tidak menafikan seketika dulu, Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar terbilang di rantau ini , namun malang sejak mutaakhir ini prestasinya menjunam teruk dengan taraf dan standard berita yang kian runtuh etika dan susut nilainya pada mata masyarakat berinformasi. Tagline Utusan Malaysia "Pemangkin Fikiran Rakyat" kini menjadi "Pencelaru Fikiran Rakyat".

3. Nilai dan etika kewartawanan seperti benar, tepat, berinformasi, bertanggungjawab dan sebagainya tidak lagi menjadi prinsip utama dalam melaporkan berita kepada masyarakat umum. Sebagai contoh laporan berita bertulis dan bergambar mengenai video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang disiarkan dengan cara yang sangat tidak bermoral bagi sebuah akhbar yang kononnya menjadi pemangkin fikiran rakyat sedang pihak yang ditohmah belum didakwa, disiasat dan dibuktikan bersalah. Malah mana - mana pihak yang didapati bersalah sekalipun, tidaklah wajar kisahnya dipaparkan kepada umum, inikan pula paparan yang bermaksud untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta menghina.

4. Negara kita ada undang - undang dan peraturan sementara negara juga memiliki pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Kenapa Utusan Malaysia pula yang mengambil alih tugas sebagai pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Negara akan runtuh peradabannya jika perkara ini dibiarkan berlarutan dan berleluasa.

5. Terkini Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai kononnya terdapat usaha untuk mengkristiankan negara dengan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi. Lebih malang, berita itu hanya dipetik dari sebuah blog yang tidak bertanggungjawab. Tanpa mempedulikan implikasi dari laporan yang dibuat, Utusan Malaysia akhirnya menjatuhkan tarafnya dan duduk sama ranking dengan blog nyamuk.

6. Tika ini, blog tersebut telah memadam postingnya berkait isu ini dan Utusan Malaysia menerima tamparan hebat dari semua pihak termasuk dari MCA yang menjadi sekutu dan kompenan Barisan Nasional apabila dianggap tidak berhati - hati membuat laporan malah dilihat gelojoh tidak menentu hala dalam membuat serangan kepada ppihak pembangkang. Hilang rasional dan kematangan sebagai sebuah akhbar yang berusia dalam negara ini.

7. Sebahagian rakyat mula menunjukkan reaksi mual dan tidak selesa mereka terhadap sikap dan pendekatan Utusan Malaysia pada hari ini. Layaknya Utusan Malaysia menjadi "Pemangkin Fikiran UMNO" bukan "Pemangkin Fikiran Rakyat". Justeru ia kini menjadi 100% lidah rasmi UMNO bukan lagi menjadi media umum yang perlu diakses oleh seluruh rakyat. Sebaliknya Utusan Malaysia dicadangkan agar ditulis besar pada penjuru kirinya : "Untuk Ahli UMNO sahaja".

8. Saya percaya, andai trend ini kekal dan berlarutan, Utusan Malaysia akan kehilangan pembeli dan pembaca popularnya dan Sinar Harian akan menjadi tumpuan masyarakat teramai dan hitnya akan jauh mengatasi Utusan Malaysia.Tinggallah Utusan Malaysia dengan keangkuhannya dan ditindih perasan serta syok sendiri yang ketara.

9. Sementara tidaklah mengapa jika Utusan Malaysia mahu mengkritik pembangkang biarpun secara demokratiknya keadaan masih berat sebelah, tetapi biarlah benar, tepat dan berfakta. Jika tersilap, segera memohon maaf dan siarkannya secara terbuka pula.

10. Saya tidak perlu menjadi konsultant percuma buat Utusan Malaysia justeru usia mereka di arena kewartawanan ini sayugianya mereka mampu menilai dan dewasa dalam bertindak. Saya sendiri mula diserang rasa rugi membeli Utusan Malaysia yang mula merosot teruk nilai informasinya. Utusan Malaysia kini hanya sarat dengan laporan bersifat provokasi, lucah, berita jenayah dan hiburan. Sementara laporan bernilai informasi yang membangun minda dan membina spiritual terlalu minima.

atau, ada insan yang tidak bersetuju dengan apa yang saya ungkapkan sejujurnya ini ?
Baca Seterusnya......