KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Monday, August 30, 2010

KDN tolak permohonan permit cetak Malaysiakini

Portal berita Malaysiakini akan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempertimbang permohonannya untuk mendapatkan permit bagi menerbitkan versi bercetak harian.

Ketua pegawai ekskutif Malaysiakini Premesh Chandran berkata portal berita tersebut telah beroperasi selama 10 tahun dan rekod prestasinya terbukti dari segi profesionalisme dan kredibiliti.“Saya tidak nampak sebab mengapa kami tidak diberikan permit," katanya ketika mengulas satu surat jawapan kepada permohonan itu daripada KDN bertarikh 19 Ogos.

KDN yang berkuasa penuh dalam pemberian permit penerbitan, tidak memberikan alasan di sebalik keputusan tersebut.

“Kami memohon permit ini pada April lalu. Memandangkan tidak semua orang mempunyai akses Internet, versi cetakan akan meningkatkan pembacaan kami," kata Premesh.

Katanya lagi, beliau kali terakhir bertemu dengan seorang pegawai kanan di bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran dua minggu lalu.

Pegawai berkenaan yang menandatangani surat tersebut, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksinya hari ini.

Ini merupakan kali kedua Malaysiakini mengemukakan permohonan untuk mendapatkan permit penerbitan. Permohonan kali pertama dikemukakan pada 2002.

Kementerian berkenaan bagaimanapun berdiam diri sehinggalah perkara tersebut ditimbulkan melalui satu soalan di parlimen. KDN sekadar memberi jawapan bahawa permohonan itu berada "dalam penelitian."
Baca Seterusnya......

Thursday, August 19, 2010

Umno jadikan KDN senjata kekang media Pakatan Rakyat

Oleh Safar Jumaat

Bila berbicara soal permit penerbitan, ada dua perkara yang mahu diperkatakan secara tegas. Kedua-duanya, berlawanan antara satu sama lain, samalah dengan berlawanannya antara hidup dengan mati, sakit lawannya sihat dan gemuk lawannya kurus.

Sebagai salah seorang yang memang hidup bergelumang dalam dunia penulisan dan penerbitan, tentunya penulis tidak mahu adanya permit penerbitan setiap kali mahu menerbitkan sesuatu kerana ia bukan perkara mudah untuk mendapatkannya, selain karenah birokrasi.


Tetapi sebagai seorang pembaca, sesekali rasanya perlu juga permit penerbitan kerana bimbang, apabila ia tidak dilesenkan, penulis dan penerbit akan sewenang-wenangnya menulis dan menerbitkan fitnah dan hasutan, selain cerita-cerita dan gambar lucah, yang tentunya menyinggung kehidupan, khususnya berkeluarga simangsa.


Pengalaman 'dijemput' KDN ke Putrajaya juga sebenarnya sesuatu yang menyusahkan walaupun ia sebenarnya sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Pandangan masyarakat cukup keliru kerana, 'jemputan KDN' itu sudah menyebabkan mereka memandang penulis dan penerbit 'telah melakukan kesalahan' walaupun hakikatnya KDN dengan pengamal media, sepatutnya perlu sokong menyokong antara satu sama lain. KDN dengan penerbit (penulis) sebenarnya patut menjadi aur dengan tebing jika pun tidak seperti isi dengan kuku.

Jika dikira peratusan, sebenarnya permit penerbitan yang dikeluarkan dengan yang ditarik balik atau dikenakan tindakan gantung, amat kecil tetapi hakikatnya, apabila ada akhbar yang dikenakan tindakan, hanya kesilapan yang bukan kesalahan jenayah, ramai pekerja yang terpaksa mengganggur.

Apakah pegawai-pegawai KDN nampak akan semua masalah ini? Modal untuk memulakan penerbitan sebenarnya bukan kecil, selain daripada tanggungjawab mengedar dan mencetak yang turut menjadi sulit apabila KDN mengeluarkan kenyataan yang berbaur 'amaran'.

Tanpa menyentuh mengenai masalah yang dihadapi Suara Keadilan dan Roket, Harakah yang pernah mengalami pelbagai cabaran dan rintangan dengan KDN lebih dahsyat lagi. Pernah ditarik permit penerbitannya, pernah dikurangkan kekerapan terbitannya dan ini sedikit sebanyak mengganggu perniagaan.

Dulu, ada sebuah akhbar tabloid bernama Eksklusif. Permitnya juga tidak diperbaharui tetapi kemungkinan juga penerbitnya sudah tidak berminat lagi untuk merayu pembaharuan permit penerbitan akhbar itu, ia berkubur begitu sahaja.

Mungkin, disebabkan ia diterbitkan sebuah syarikat penerbitan yang besar dan kukuh, maka semua pekerja-pekerjanya boleh diserapkan ke bahagian lain, tetapi sebenarnya nasib malang yang menimpa akhbar itu sebenarnya turut 'menutup pintu rezeki' penulis-penulis luar yang menumpang mencari makan dengan akhbar tersebut?

Adakah sesiapa yang memikirkan nasib golongan ini? Tidak hairanlah, apabila muncul kemudahan media baru, blog dan internet, maka di situ pihak KDN seharusnya dapat melihat betapa ramainya penulis berbakat yang telah menggunakan bakat masing dengan menyerang kerajaan – kerana di medan ini, mereka tidak perlu takut dengan 'amaran' dari KDN.

Pembangunan minda sebenarnya terganggu dengan akta demi akta. Tetapi faktor keselamatan juga adalah perkara amat penting yang perlu penerbit dan penulis berikan perhatian. Tidak ada gunanya permit penerbitan dihapuskan jika keselamatan negara musnah akibatnya.

Bagi mereka yang bekerja dengan penerbitan dan bagi penerbitan yang mempunyai permit penerbitan, tentunya masing-masing berhati-hati menulis dan menerbitkan kerana tanggungjawab menjaga kepentingan dan hak pekerja adalah perkara utama, selain perjuangan untuk menegakan kebenaran. Jika tidak berhati-hati, semua ini tertutup dan terhenti hanya kerana sikap kurang berhati-hati.

Memetik tulisan Ahmad Lutfi Othman (Catatan Hujung – Harakah 30 Julai – 1 Ogos 2010); Harakah sudah diperbaharui permitnya – setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran – tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat 'karut-marut' dan 'ugutan' terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Hakikatnya, apa yang Ahmad Lutfi rasakan, turut dirasakan oleh penerbit-penerbit lain yang turut digugat. Cuma, mungkin – mereka yang terlibat dengan media baru, blog dan internet tidak perlu mempunyai apa-apa kerisauan kerana modal mereka tidak sama dengan modal penerbit media cetak seperti Harakah.

Sepatutnya kakitangan kerajaan, tidak kiralah KDN atau mana-mana sahaja yang terlibat dengan urusan bersama syarikat atau orang ramai, perlulah menganggap bahawa – pihak peniaga ini sebagai rakan kongsi mereka. Lesen yang mereka berikan, berbayar bukan percuma.

Malangnya, mereka ini bila berdepan dengan orang-orang berniaga, mereka beranggapan semua itu adalah 'menyusahkan' dan perlu diberi tekanan. Pemikiran ini perlu disingkir jauh-jauh dari diri dan jiwa setiap kakitangan kerajaan.

Mereka bekerja dengan kerajaan – yang kebetulan kerajaan itu bukan dari kalangan mereka kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya. Jadi, mereka perlu tahu (baca : sedar) mereka hanya kakitangan tanpa mengira jawatan dan kedudukan sedangkan 'kerajaan' bila-bila masa sahaja boleh bertukar tangan.

Ketika mengatakan bersetuju untuk kerajaan meneruskan sistem yang ada, dengan mengawal permit penerbitan, sebenarnya lebih baik jika KDN memantau majalah tahyul, seks, agama yang tersebar luas sekarang – dengan intergritinya dipersoalkan.

Bagaimana majalah seks, tahyul dan agama boleh tersebar secara meluas tanpa kawalan ketat? Apakah majalah seks dan tahyul serta agama (yang diragui) tidak menjejaskan pemikiran dan keselamatan pembaca? Apakah edaran DVD (VCD) yang tentunya bukan di bawah KDN boleh beredar dengan meluas sedangkan dari segi kesannya, jauh lebih bahaya dari orang ramai yang membaca Harakah tidak dihiraukan pihak berwajib?

KDN yang juga berkuasa mengeluarkan lesen mesin cetak juga sepatutnya mencari jalan untuk membantu pencetak-pencetak Melayu yang menunggu masa untuk gulung tikar ekoran tidak mampu untuk meneruskan perniagaan hanya kerana saingan di padang yang tidak sama rata.

Tidak bolehkah KDN mencari jalan untuk memudahkan pencetak Melayu yang sudah nazak ini supaya pulih semula dan dapat menarik nafas lega kerana 'komitmen' KDN yang tentunya tahu bahawa mereka boleh memberikan oksijen kepada pencetak-pencetak miskin ini.

Mungkin ini bukan tugas KDN tetapi salahkah jika mereka 'memberi sedikit khidmat' hanya kerana mahu membantu pencetak Melayu yang tentunya mempunyai pekerja-pekerja tempatan berkemahiran?

Mudah-mudahan selepas ini, para penerbit dan pencetak akan mendengar berita ada bekas pegawai KDN yang bersara atau (bersara awal) kerana mahu terjun ke dunia perniagaan percetakan dan berjaya membawa nafas baru kepada dunia penerbitan dan percetakan.

Jika mereka tidak terjun ke dunia ini, selama-lamanya mereka akan beranggapan langkah mereka memberi 'ugutan' sebagai perkara enteng dan tidak mengganggu sesiapa – penulis, penerbit, pencetak atau pekerja-pekerja dalam bidang penerbitan dan percetakan! Noktah. -
Baca Seterusnya......

Monday, August 16, 2010

Selepas sebulan Suara Keadilan ditamatkan permitnya ...

KUALA LUMPUR: Keengganan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussein untuk mengizinkan penerbitan semula lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, selepas lebih sebulan ditamatkan permitnya, amat dikesali. Serentak itu, kempen menuntut Suara Keadilan dibenarkan beroperasi mesti digerakkan segera secara sistematik.

Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Ahmad Lutfi Othman berkata, langkah primitif KDN itu bukan sahaja menutup ruang kebebasan bersuara yang sedia sempit di negara ini, bahkan ia juga melambangkan ketakutan parti pemerintah untuk mendengar kritikan rakyat.

Akhbar Suara Keadilan, tambah Lutfi, diterbitkan oleh sebuah parti politik yang mendapat sokongan memberangsangkan dalam pilihan raya umum lalu. Oleh itu tindakan menghalang penerbitan organ parti berkenaan, katanya, merupakan pencabulan terhadap hak rakyat untuk mendapat maklumat dan pandangan daripada pelbagai parti yang dibenarkan bergerak di negara ini.

"Sudahlah semua akhbar parti-parti dalam Pakatan Rakyat dikongkong dengan pelbagai peraturan tidak munasabah, seperti dihadkan jualan kepada ahli di markas parti sahaja dan kandungannya terbatas kepada hal ehwal parti, malah permit penerbitannya juga boleh ditarik bila-bila sahaja tanpa sebarang sebab," ujar Lutfi.

Beliau yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah turut menarik perhatian terhadap nasib dan masa depan kakitangan Suara Keadilan terutama menjelang Syawal nanti.

"Sempena Ramadan yang mulia ini, Hishamuddin atau Perdana Menteri sendiri, Dato' Seri Najib Razak harus berlapang dada dengan membenarkan akhbar berkenaan beroperasi semula. Jika ada pihak yang berasa tersinggung dengan laporan Suara Keadilan, mereka boleh mengambil tindakan menurut saluran tertentu," katanya.

"Tindakan menutup mulut pengkritik hanya membuktikan bahawa Najib dan BN berada dalam keadaan resah-gelisah. Perdana Menteri telah memusnahkan usaha pembaharuan yang cuba diusahakannya sendiri," tambah Lutfi.

KAMI kini mengatur kempen agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang menjadi penghalang besar kebebasan bersuara di negara ini, dimansuhkan segera.

Sebelum ini, lebih 10 tahun lalu, dua majalah yang diusahakan Lutfi, iaitu Detik dan Wasilah, diharamkan KDN, selain akhbar mingguan Cabaran yang turut diganggu operasi penerbitannya.

KAMI merupakan NGO yang memperjuangkan kebebasan media di negara ini, dan diitubuhkan selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan keras termasuk mengharamkan dan mengehadkan kekerapan penerbitan media berbahasa Melayu yang diilihat bebas daripada pengaruh pemerintah pada tahun 2000, sejurus selepas pilihan raya umum November 1999.
Baca Seterusnya......

Monday, August 9, 2010

Speaker DUN Perak diminta kerjasama dengan media

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) hari ini menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk R Ganesan supaya meningkatkan kerjasama dengan pihak media di samping memindahkan sebarang halangan yang boleh menganggu tugas mereka.

Setiausaha Agungnya V Anbalagan berkata Ganeson sepatutnya mengembalikan amalan sebelum ini yang menempatkan petugas media di ruang khas yang disediakan di dalam dewan persidangan, semasa membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri.

Katanya NUJ merasa kesal apabila para wartawan yang membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini masih ditempatkan di ruang kaca khas di galeri awam.

"Di kedudukan itu mereka tidak dapat mengikut perbahasan apabila suis mikrofon dimatikan semasa wakil rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah dalam persidangan Selasa lepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata media seharusnya dibenarkan melaksanakan fungsi demokratiknya untuk mengikuti persidangan dan melaporkan dengan tepat kepada rakyat Perak mengenai isu-isu yang membabitkan mereka.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa hanya media rasmi dibenarkan untuk membuat rakaman suara dan mengambil gambar di dewan persidangan manakala petugas media yang lainnya dibenarkan untuk berada di ruang khas yang disediakan.

- Bernama

Baca Seterusnya......

Friday, August 6, 2010

Media & Tragedi

Oleh Nobisha

Sewaktu di universiti dulu, saya mengambil beberapa kursus kewartawanan. Walaupun itu tidak menjadikan saya pakar dalam bidang itu, namun ia mendedahkan saya kepada apa yang disebutkan sebagai “berita” atau “news”.

Ramai wartawan kita yang terlatih menulis berita berdasarkan perspektif Barat. Sesetengahnya sudah tidak mampu berfikir secara kritikal untuk menyaring dan memberikan nilai-nilai Islam dalam tugasan tersebut. Apa saja yang dilakukan oleh Barat, itu jugalah yang mereka lakukan.

Sebelum ini, saya pernah menegur akhbar Kosmo! yang menulis mengenai latarbelakang pengarah filem dan iklan Yasmin Ahmad selepas beliau meninggal dunia. Sewaktu hidup, akhbar yang sama mengagungkan beliau.

Saya boleh menerima sekiranya media mengkritik seseorang penjawat awam (public officials) atau personaliti awam (public personality) sewaktu beliau hidup. Mereka mempengaruhi rakyat dan kehidupan mereka sewajarnya berada di bawah kanta pembesar.

Namun, apabila mereka meninggal dunia, tak perlulah kisah-kisah buruk (sekiranya ada) dibesarkan dalam media. Biarlah itu menjadi urusan antara mereka dengan Allah s.w.t. Kita tak perlu menjadi hakim.

Atas dasar itulah saya tidak setuju dengan cara sesetengah media massa di negara ini melaporkan kisah tragedi bekas ADUN Permatang, Dato’ Abd Aziz Mohd Noh dan Siti Rohana Ismat. Sementara saya faham kes kematian tersebut merupakan “public interest”, namun ia harus dilihat dari konteks keselamatan (contoh: pemberian permit senjata api), bukannya latarbelakang orang yang telah meninggal dunia.

Bayangkan bagaimanakah perasaan isteri, anak-anak, anggota keluarga dan kawan-kawan yang membaca berita yang tidak disahkan itu di muka hadapan akhbar.

Dimanakah akhlak wartawan kita?

Adakah jualan suratkhabar kita telah jatuh begitu teruk sekali sehingga tragedi pun hendak disensasikan dan diletakkan sebagai berita utama di muka hadapan?

Memalukan!


Baca Seterusnya......

Sunday, August 1, 2010

Ku Li ulangi desakan minta kerajaan mansuh akta sekat kebebasan

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

Pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengulangi desakannya agar kerajaan memansuhkan undang-undang yang dilihat menyekat kebebasan selain digunakan untuk menyemai perasaan takut di kalangan rakyat.

“Ketika anda berada di persidangan ini, biar saya berhujah, sehingga ke tahap minimum yang mutlak, kita harus meminta agar memansuhkan akta-akta yang tidak adil dan yang disalah guna sehingga menyekat kebebasan yang kita pernah menikmati ketika negara merdeka (lima dekad lalu),” kata beliau.

Kenyataan Tengku Razaleigh itu disusuli dengan permintaannya agar rakyat menyertai beliau mendesak agar undang-undang sedemikian tidak lagi diguna pakai.

“Saya meminta anda menyertai saya dalam mendesak agar memansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) dan OSA (AKta Rahsia Rasmi 1972).

“Undang-undang ini lazimnya digunakan sebagai alat politik, bukannya sebagai instrumen keselamatan negara. Ini mencetuskan iklim ketakutan (di kalangan rakyat),” kata beliau pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menggesa agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang turut menjejaskan mutu sistem pendidikan dimansuhkan.

“Saya minta anda sertai saya dalam menggesa tindakan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan yang pentingnya AUKU.

“Saya tidak dapat lihat bagaimana anda boleh meneruskan aktivisme seperti kebebasan di UK dan Eire sementara rakan-rakan anda di tanah air dinafikan hak asasi berpersatuan dan bersuara oleh AUKU,” kata beliau dengan merujuk kepada hak-hak yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata rakyat mesti proaktif dan perlu ada inisiatif untuk menentukan masa depan negara.

Beliau menambah, jika pihak pemerintah mengatakan bahawa “masa depan anda terletak di tangan anda, harap bertanya kepada mereka agar diberikan masa depan itu (kepada anda) terlebih dahulu.”

“Tanya mereka bagaimana anggota paling paling muda dalam Kabinet berusia 45 (tahun)?”

“Purata umur Kabinet (ketika) merdeka bawah 30 tahun. Anda bukan generasi pertama yang cerdik. Tetapi (anda juga) bukannya kurang cerdik.

“Tetapi anda boleh jadi generasi pertama pelajar dan graduan muda dalam 50 tahun membuat negara ini melalui pembaharuan yang besar. Dan, pembaharuan itu kini mendesak,” katanya lagi.

Malah kata beliau, rakyat Malaysia tidak harus diperdayakan dengan rasa terhutang budi palsu kepada kerajaan.

“Anda akan diberitahu bahawa banyak yang diharapkan daripada anda, banyak yang telah diberikan kepada anda, dan sebagainya.

“Semua ini adalah benar. Sebenarnya, banyak yang telah dicuri daripada anda. Sepanjang 25 tahun yang lalu, banyak kekayaan yang dijana oleh rakyat yang berdaya maju dan sumber-sumber yang banyak jumlahnya telah dirampas,” kata Tengku Razaleigh.

“Ini adalah (harta) patrimoni anda,” katanya lagi sambil menegaskan, rakyat tidak harus diimlakkan oleh parti-parti politik.

Justeru kata beliau, generasi muda tidak harus menerima naungan politik, sebaliknya harus berjuang demi masa depan yang lebih baik. M/Insider

Baca Seterusnya......

Saturday, July 31, 2010

Kenyataan Media KAMI mahu Akta Mesin Cetak & Penerbitan dihapuskan

Baca Seterusnya......

Mahathir lagi bebas dari Tun Razak beri ruang "kebebasan media"

Pada 28 Julai 2010 saya mengunjungi Pejabat Harakah kerana menerima jemputan untuk menyertai NGO bernama KAMI yang mendesak kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak 1984. Cukup untung bersua kembali Haji Subky Latif dan Ahmad Lutfi (Ketua Pengarang Harakah) selepas 15 tahun sejak saya meninggalkan PAS pada tahun 1995.

Juga turut hadhir bersama ialah Ibnu Hashim dan Tarmizi Md Jam. Semua (bekas) sahabat lama ini kelihatan seolah tidak banyak berubah dari segi raut wajah melainkan Tarmizi itu lebih berisi berbanding masa saya mengenalinya era tahun 90-an. Turut hadhir Penasihat Undang-undang Harakah, Hanipa Maidin dan pakar perlembagaan, Prof Dr. Abdul Aziz Bari

Haji Subky mengolah tentang sejarah kebebasan akhbar dalam negara dimana zaman PM kedua dan ketiga, iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn merupakan zaman yang cukup kurang memberi kebebasan akhbar terutamanya dengan kawalan saham oleh individu Umno ke atas Utusan Melayu masa itu.


Haji Subky membawa analisisnya dimana zaman Dr. Mahathir merupakan detik permulaan era kebebasan akhbar secara beransur-ansur. Subky berharap supaya PM sekarang, Dato Najib tidak pula kembali kepada zaman ayah dan zaman bapa saudaranya itu.


Hj. Subky diberi masa lama untuk berseloroh dan bercerita tentang sejarah penubuhan Utusan Melayu sehingga dipimpin oleh Yusuf Ishak (selepas itu menjadi Presiden Singapura). Saya dapat mengenali beberapa fakta penting yang cukup berharga dalam majlis hari ini. Hj Subky tetap saya sanjungi sebagai salah seorang mentor semasa zaman saya dulu dalam PAS yang cukup berisi fakta tajam setiap kali beliau berceramah.


Pada tahun 1990, beliau pernah bertanya kepada saya untuk cuba teka sepatutnya bilakah Anwar Ibrahim akan menjadi PM Malaysia. Saya menjawab, 'tahun 2000 agaknya'. Subky mengejutkan saya dengan jawapan '1986'. Saya terpingga-pingga sehinggalah Subky menjelaskan bahawa peluang Anwar dan pembangkang masa itu lebih cerah sekiranya Anwar tidak masuk Umno tetapi kekal sebagai ketua barisan pembangkang. Ah!.. memang cukup tajam pemikiran Haji Subky Latif!


Diskusi KAMI Kali Ke-3 berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh massa bagi membincangkan isu-isu sekitar Akta Mesin Cetak & Penerbitan. Mereka yang hadir pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; penulis prolifik yang juga pengasas Harakah, Hj Subky Latiff; Peguam PAS, Hanipa Maidin; Editor Malaysia Insider, Dr. G Manimaran; Exco Paksi, Razali Endun; adik allahyarham Dr. Burhanuddin Helmy, Drs Norbit Mohd Noor; blogger Dr. Mohd Hashim; Naib Dewan Perhimpunan Bukan Islam PAS Pusat, Vincent Lee; Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman; Setiausaha PAS Kawasan Batu, Hj Ismail Yahya; beberapa wartawan Harakah, dan Harakahdaily.


Diskusi KAMI selama tiga jam itu diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam selaku setiausaha badan yang kini sudah berusia 10 tahun. Beberapa rumusan hasil diskusi ini akan perincikan bagi tindakan lanjut. - Catatan Redhuan Onn Abdullah
Baca Seterusnya......

Friday, July 30, 2010

Penubuhan Majlis Media Alternatif Dialu-alukan

Oleh Mohd Sayuti Othman

SAYA mengalu-alunya tindakan Aktivis Media Independen (Kami) yang diketuai Ahmad Lutfi Othman yang bercadang untuk menubuhkan Majlis Media Alternatif (MMA) untuk dijadikan mekanisme mengawal selia diri sendiri. Saya rasa hasrat seperti sudah lama patut dilakukan dan bukan saja setakat membunting dalam kepala saja.

Selain daripada mendesak kerajaan memasuhkan Akta Mesin Cetak yang dilhat satu mekanisme dipihak kerajaan menganggu kebebasan bersuara di negara ini dalam menyalurkan maklumat yang benar dan telus, baik sangatlah kalau NGO berkenaan melihat ke dalam diri sendiri. Sebab di pihak media alternatif sendiri banyak kecacatan dan kecurangan yang disedari tetapi dibiarkan.

Misalnya ada media alternatif melampau dalam membuat laporan tanpa memikirkan soal-soal atau kepentingan lain yang dikira untuk manfaat bersama. Setengahnya beremotif sangat sehinggakan mengabaikan profession media. Kebanyakan media alternatif juga mahu bersikap seperti media arus perdana yang tidak sedikit pun nampak kebaikan pembangkang.

Keperluan majlis berkenaan juga dirasakan amat perlu memandangkan kini muncul berbagai media termasuk web site dan blog yang menyokong pembangkang secara bebas tetapi tidak terkawal. Banyak berlaku penulisan atau pun laporan yang tidak mempunyai strategi jelas dan kadang kala memakan diri sendiri.

Kerana kurang cermat atau tidak ada pengalaman dalam penulisa berstrategi menyebabkan ada bloger yang melondehkan pekung diri sendiri menyebabkan menimbulkan masalah kepada parti yang disokongnya. Ada kalanya pihak parti terpaksa berpolemik sesama sendiri akibat pendedahan kurang sipan bloger.

Dengan adanya badan bebas mengawal diri sendiri nanti saya rasa selepas ini hal-hal yang tidak sepatutnya berlaku itu akan dapat diatasi. Disebabkan sesetengah penulis atau media pembangkang khususnya penulis blog yang terlampau bebas, tidak dibatasi sebarang undang-undang atau etika adakalanya penulis terhentam rakan sendiri.

Dengan adanya majlis itu juga, ia boleh memberi tunjuk ajar kepada penulis blog yang rata-rata tidak begitu berpengalaman dan mengetahui etika penulisan. Kebanyakan mereka lahir kerana ghairah dengan dunia blog tanpa ada ilmu mengenai penulisan. Ahli atau aktivis Kami yang ramai dan kebanyakan berpengalaman itu boleh menganjurkan bimbingan penulisan dari masa ke semasa.

Apa yang pentingnya juga ia harus mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyenangkan segala aktiviti yang diatur kelak. Kerajaan Pakatan Rakyat juga sepatutnya tidak membiarkan Kami bersendirian dan bergerak dengan sukarela sepanjang masa. Perasaan timba balik perlu ada di antara kedua pihak.

Hendaknya dengan berjalanya idea itu nanti ia boleh memabantu perwujudan Majlis Media Malaysia (MMC) yang tertangguh sebelum ini. Mungkin MMA nanti boleh mengemukakan cadangan-cadangan konkrit, adil, bebas dan profesional berhubungan penubuhan MMC itu kelak.

Tahniah kepada Kami
Baca Seterusnya......

Diskusi Kali Ke-3: KAMI timbang untuk tubuhkan Majlis Media Alternatif bagi pantau media Pakatan Rakyat

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), pertubuhan bukan kerajaan yang dibentuk untuk memperjuangkan usaha mendesak dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, bercadang untuk membentuk Majlis Media Alternatif bagi menggalakkan mekanisme kawal selia kendiri.

Idea itu dilontarkan pada Diskusi KAMI Ketiga Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang diadakan di sini hari ini.Pengerusi KAMI, Ahmad Lufti Othman berkata, usaha mengadakan majlis seumpama itu, yang diamalkan oleh beberapa negara maju bagi sektor media cetak dan elektronik, akan dibincangkan secara mendalam dalam waktu terdekat.

“Idea ini yang dibangkitkan pada majlis diskusi hari ini akan dibincangkan secara mendalam agar kita ada sebuah badan kawal selia media alternatif seperti laman web, akhbar mingguan (akhbar pembangkang), blog,” kata beliau pada sidang media di akhir diskusi peringkat ketiga di pejabat Harakah di sini hari ini.

KAMI yang dibentuk secara tidak formal satu dekad yang lalu sebagai salah satu usaha mengecam penggunaan akta tersebut untuk mengekang kebebasan media cetak di negara ini.

Lufti yang juga Ketua Pengarang Harakah berkata, pembentukan majlis media sedemikian akan bertindak sebagai satu badan kawal selia kendiri dalam jangka panjang, menggantikan penggunaan undang-undang sedemikian.

“Kita perlu mengekalkan mutu kewartawanan yang baik, dan KAMI akan menghalusi perkara ini,” katanya.

Sebelum ini pernah ada idea dan kajian membentuk Majlis Media Malaysia (MMC), tetapi dibantah wartawan khususnya Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ). NUJ mahu ia beroperasi dengan bebas, dikawal sendiri oleh pengamal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media.

Idea penubuhan telah dibincangkan sejak 1960-an oleh sekumpulan editor bagi menjaga kepentingan pengamal media. Pada 2005, NUJ mendakwa bahawa ia tidak pernah dibawa berunding mengenai cadangan penubuhan MMC pada peringkat penggubalan.

Dalam pada itu, Setiausaha KAMI Tarmizi Mohd Jam pula memberitahu, idea pembentukan majlis sedemikian akan dibincangkan pada mesyuarat KAMI akan datang. Pada sidang media itu, beliau juga memberitahu KAMI akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri agar mengeluarkan semula permit kepada Suara Keadilan dan Rocket yang masing-masing diterbitkan oleh PKR dan DAP.

“KAMI juga akan menghantar memorandum mengenai penggunaan Akta Media Cetak dan Penerbitan oleh kementerian kepada Suhakam dan Majlis Hak Asasi Sedunia,” katanya.

Semalam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kata beliau, tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri menahan daripada memperbaharui permit Suara Keadilan dan Rocket berhubung kait dengan kebimbangan kritikal Umno-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

Tarmizi berkata jika Umno-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu “penggantungan” permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak diambil, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa. Sebelum tiga penerbitan menghadapi masalah yang hampir sama, bagaimanapun Harakah telah menerima permit semula dua minggu lalu.

Suara Keadilan kini diterbitkan di bawah status tidak berkala dengan tiga edisi setakat ini, di bawah nama Keadilan, Obor Keadilan dan Sinar Keadilan.

Diskusi KAMI Kali Ke-3 berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh massa bagi membincangkan isu-isu sekitar Akta Mesin Cetak & Penerbitan. Mereka yang hadir pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; penulis prolifik yang juga pengasas Harakah, Hj Subky Latiff; Peguam PAS, Hanipa Maidin; Editor Malaysia Insider, Dr. G Manimaran; Exco Paksi, Razali Endun; adik allahyarham Dr. Burhanuddin Helmy, Drs Norbit Mohd Noor; blogger Dr. Mohd Hashim; Naib Dewan Perhimpunan Bukan Islam PAS Pusat, Vincent Lee; Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman; Setiausaha PAS Kawasan Batu, Hj Ismail Yahya; beberapa wartawan Harakah, dan Harakahdaily.

Diskusi KAMI selama tiga jam itu diselenggarakan oleh Tarmizi Mohd Jam selaku setiausaha badan yang kini sudah berusia 10 tahun. Beberapa rumusan hasil diskusi ini akan perincikan bagi tindakan lanjut.
Baca Seterusnya......