KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Sunday, May 15, 2011

Umno, Utusan Malaysia 'biadap'! - Mohammad Sabu

KUALA LUMPUR : Laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia berhubung dakwaan ada pihak kononnya mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi sangat 'biadap' dan tidak bertanggungjawab.

Demikian tegas Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi, Mohammad Sabu kepada Harakah ketika ditemui di Jalan Pahang 9 Mei lalu."Dalam sejarah Utusan Malaysia inilah kenyataan muka depan yang paling biadap dan kurang ajar terhadap orang Melayu dan adu domba masyarakat dalam hal keagamaan,

"Sedangkan semua orang tahu hal nak menukar perlembagaan khususnya hal agama ini perlukan majoriti dua pertiga, ini tak akan berlaku," katanya yang berang dengan laporan berunsur provokatif Utusan Malaysia itu.

Ujar Mohammad Sabu, laporan itu hanya diambil daripada berita yang disiarkan oleh laman blog yang pro-Umno.

Berita itu sangat tidak bertanggungjawab hingga diletakkan sebagai muka depan akhbar itu, katanya.

Bagi Mohammad Sabu, Umno tidak boleh lari dari fakta kerana inilah akhbar yang saham dimiliki Umno.

"Umno mahu mencetuskan ketegangan dan suasana pergaduhan, bertengek di atas isu ini," katanya lagi.

PAS kesal Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil kenyataan kepada Ketua Penmgarang Utusan Malaysia atas isu berbentuk perkauman, katanya.

"Ini banyak kali telah Utusan buat laporan yang berbentuk demikian.Sebelum ini dakwa Guan Eng (Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang) nak ganti Yang DiPertuan Agong,

"Ini sangat tidak bertanggungjawab, ini yang paling biadap lagi.Ini satu tindakan yang terdesak, main isu orang Melayu, KDN kena ambil tindakan tegas," kata Mohammad Sabu lagi.

Berita mengenai dakwaan kononnya ada langkah untuk menjadikan Kristian sebagai agam rasmi Malaysia dibuat berdasarkan kepada tulisan dalam dua blog pro-Umno - Bigdog.wordpress.com and Marah ku.

Blog itu mendakwa bahawa seorang pemimpin DAP yang juga ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi, telah menghadiri satu pertemuan sulit dengan sekumpulan pastor untuk tujuan tersebut di Pulau Pinang.

Menteri KDN, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'satu perkara yang serius' sekiranya ianya benar.

Manakala menteri Penerangan, kebudayaan dan komunikasi, Dato' Seri Rais Yatim pula berkata tulisan tersebut perlu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ekoran itu, banyak laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Ooi yang juga ahli jawatankuasa pusat DAP, oleh pertubuhan Melayu seperti Pembela dan PERKASA.

Ooi telah menafikan dakwaan tersebut dan turut membuat laporan polis, mendesak polis menyiasat akhbar tersebut serta blog terbabit.
Baca Seterusnya......

Wednesday, May 4, 2011

Untuk pertahan kuasa Umno-BN yang makin terdesak, Malaysia kini sedang tuju Negara Polis!


PAS Kawasan Batu kesal dengan tindakan pihak Polis yang tidak memberikan kerjasama dalam menjayakan perarakan Hari Pekerja 1 Mei lalu di ibu negara. Menurut Yang DiPertuanya, Ishak Surin, Malaysia kini seolah-olah sedang menuju negara Polis apabila pasukan keselamatan itu tidak menghormati demokrasi dan cuba menghalang hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Katanya, negara Polis boleh didefinasikan sebagai "sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang".

Ishak berkata, negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (SUHAKAM) N Siva Subramaniam (gambar kiri) pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan keganasan Polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu kecewa, kerajaan Umno-BN enggan mengiktiraf himpunan kaum pekerja di negara ini kerana bimbang ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja yang lain di seluruh negara dalam suasana politik yang tidak memihak Umno-BN.

"Harga barang terus naik. Barang dapur, makanan, dan segalanya naik. Tapi gaji tak dikaji. Tak dinaikkan. BN bimbang ini akan memarakkan kebangkitan rakyat sebab itu Polis digunakan untuk kekang himpunan Hari Pekerja," tegas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan.

Pada himpunan Harai Pekerja 1 Mei lalu, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arultchelvam bersama Bendaharinya, S Sivarajah dan Ahli Parlimen Sg Siput, Dr Jayakumar serta 18 para pekerja yang menyertai himpunan ditahan Polis.

Baca Seterusnya......

Mengapa Kerajaan Umno-BN takut hapuskan Akta Mesin Cetak 1984?


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menuntut agar Kerajaan Pusat segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984  dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) yang terus mengekang kebebasan media bagi tujuan mengekalkan kuasa Umno-BN.

Menegaskan perkara ini, Setiausahanya, Datuk Tarmizi Mohd Jam menyifatkan kuasa penuh Menteri KDN dalam menentukan kelulusan permit baru dan memperbaharui permit asal setiap tahun membuktikan demokrasi di negara ini dikongkong mengikut acuan pemerintah Umno-BN.

Katanya, kuasa penuh kepada pemerintah untuk menggantung atau membatalkan permit tanpa sebarang alasan kukuh juga, bukti lama yang tidak diendahkan oleh Umno-BN.

KAMI dari awal lagi menentang undang-undang yang zalim ini, dan mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan turut dimansuhkan.

Sebaliknya, tegas beliau, suatu Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information (FOI) harus digubalkan untuk menggantikan undang-undang kejam ini yang tidak relevan lagi dalam dunia tanpa sempadan di mana ekonomi kian berteraskan maklumat dan pengetahuan.

KAMI juga kata Tarmizi kesal, pemecatan Presiden Kesatuan Wartawan (NUJ) Hata Wahari oleh suratkhabarnya Utusan Malaysia, yang juga majikannya, semata-mata kerana beliau menegur pengurusan akhbar itu agar ia tidak menjadi Lidah Pengarang UMNO tetapi harus berdasarkan peristiwa yang berkaitan dengan rakyat.

Beliau terkejut muktakhir ini, media jajahan Umno-BN mengetepikan etika kewartawanan dan bersedia menjadi alat propaganda kerajaan dengan membesarkan agenda menuduh parti pembangkang sebagai pengkhianat dan yang pelik ialah fitnah dan tohmahan video seks dibuat oleh media ini  atas alasan ia adalah kebebasan akhbar. 

KAMI amat yakin, media yang bebas dapat menegakkan demokrasi, keadilan, kebenaran, dan integriti dan mampu mengurangkan rasuah dan penyelewengan. 

"Ini telah dibuktikan dengan perbandingan negara yang mengamalkan kebebasan akhbar juga lazimnya adalah negara yang bersih," tegas Tarmizi lagi.
 
Baca Seterusnya......

Pakatan gagal manfaatkan Youtube, Facebook; terus berangan tentang media baru?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan -- umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!
Baca Seterusnya......

Segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Oleh Lim Guan Eng

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, DAP menuntut agar Kerajaan Pusat segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memaksa semua penerbitan membaharui permit setiap tahun serta yang memberi kuasa penuh kepada pemerintah untuk menggantung atau membatalkan permit tanpa sebarang alasan kukuh.

Desakan ini bukan sesuatu yang baru. Sejak ia diperkenalkan DAP telah dari awal lagi menentang undang-undang yang zalim ini, sebagaimana tuntutan DAP supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan turut dimansuhkan.

Sebaliknya suatu Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information (FOI) harus digubalkan untuk menggantikan undang-undang kejam ini yang tidak relevan lagi dalam dunia tanpa sempadan di mana ekonomi kian berteraskan maklumat dan pengetahuan. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah mulakan usaha FOI di Selangor dan Pulau Pinang.

Walaupun media arus perdana yang dikuasai oleh BN dan UMNO terus menyerang habis Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan, usaha untuk membebaskan media daripada cengkaman pemerintah dan kroni-kroni mereka akan tetap diteruskan.

Memang rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa sukar untuk dihapuskan sama sekali tetapi ia boleh dikurangkan. Di peringkat pentadbiran, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang telah pun membuktikan ia boleh dikurangkan melalui amalan CAT yang berteraskan cekap, akauntabel dan telus. Maka usaha Pulau Pinang mendapat perhatian dan pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Transparency International. Lebihan bajet yang paling besar dalam sejarah negeri Pulau Pinang menjadikan Pulau Pinang digelar negeri yang paling baik dalam pengurusan kewangan.

Buat masa ini, usaha-usaha murni kerajaan-kerajaan negeri Pakatan tidak diberi liputan meluas oleh media arus perdana kerana mereka dikuasai oleh UMNO dan parti-parti komponen BN yang menyekat kebebasan media. Ini dibuktikan oleh pemecatan Presiden Kesatuan Wartawan (NUJ) Hata Wahari oleh suratkhabarnya Utusan Malaysia, yang juga majikannya, kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Utusan Malaysia tidak seharusnya menjadi lidah pengarang UMNO tetapi harus berdasarkan peristiwa yang berkaitan dengan rakyat.

Adalah dikesali media massa bersedia menjadi alat propaganda kerajaan menuduh parti pembangkang sebagai pengkhianat dan yang pelik ialah fitnah dan tohmahan ini dibuat oleh media massa UMNO atas alasan ia adalah kebebasan akhbar. Seperti yang disebut-sebutkan,"The Devil may quote the Scriptures for its purpose!".

Malah, sejak akhir-akhir ini, ada kalangan media arus perdana termasuk TV3 dan Utusan Malaysia yang tidak peduli kepada kesopanan dan kesusilaan sehingga sanggup menyiarkan bahan lucah sebagai berita semata-mata untuk memburukkan kepimpinan Pakatan Rakyat tanpa sebarang bukti yang sah.

Media yang bebas dapat tegakkan demokrasi, keadilan, kebenaran, dan integriti yang kurangkan rasuah dan penyelewengan. Ini telah dibuktikan dengan perbandingan negara yang mengamalkan kebebasan akhbar juga lazimnya adalah negara yang bersih.

Ini boleh dilihat dalam kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah merosot daripada No. 33 pada tahun 2002 kepada No.56 tahun lepas kerana kebebasan akhbar tidak bertambah baik tetapi masih dalam kategori "tidak bebas" mengikut Freedom Without Borders.
Baca Seterusnya......

Hari memperingati tahap kebebasan akhbar Malaysia yang merosot

Oleh Mustafa K Anuar

3 Mei diraikan oleh hampir seluruh dunia setiap tahun, terutamanya komuniti wartawan dan pencinta kebebasan akhbar dan bersuara, kerana ia merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Tapi di Malaysia, hari berkenaan seharusnya menjadi waktu semata-mata untuk memperingatkan diri kita bahawa tahap kebebasan akhbar di tanah air ini adalah memalu dan semakin mengaibkan. Tahun lepas Malaysia memperoleh tangga 141 seantero dunia, 10 takuk ke bawah dari tahun 2009.

Seolah-olah keaiban ini tidak mencukupi, Malaysia didapati berada di tingkat bawah daripada Singapura yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan akhbar yang tersekat.

Sesungguhnya, tahap kebebasan akhbar adalah penting kerana ia adalah salah satu petanda utama terhadap darjah demokrasi yang wujud dalam sesebuah negara yang menyifatkan dirinya demokratik.

Malaysia tidak ada sebab kukuh untuk merai dan merayakan hari tersebut lebih-lebih lagi pada masa-masa kebelakangan ini. Banyak benda yang berlaku yang sebenarnya mencabul kebebasan yang sepatutnya ada pada media, khususnya akhbar arus perdana. Malah ada benda yang berlaku dalam dunia persuratkhabaran Malaysia yang merendahkan martabat dan kredibiliti media arus perdana.

Satu contoh yang ketara dan terkini ialah isu yang berkaitan dengan skandal video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim. Akhbar arus perdana khususnya bukan sahaja melaporkan hal ini, malah "memperagakan" klip video lucah di dada akhbar tanpa segan silu walaupun menyedari bahawa pembacanya juga termasuk kanak-kanak atau makhluk yang berusia amat muda.

Ketibaan pemimpin luar negara, seperti Perdana Menteri China, di Malaysia nampaknya tidak berupaya "bersaing" dengan kisah video seks itu dari segi keutamaan politik dan "nilai berita".

"Kebebasan" menyiarkan foto dan berita begitu menonjol sekali dalam akhbar bukanlah menandakan satu pencapaian atau kemajuan dalam pemberitaan yang patut kita banggakan. Ini satu langkah ke belakang.

Kita mungkin boleh cuba "memaafkan" jika penonjolan kes video seks ini dilakukan oleh akhbar "panas" dan sensasi seperti News of the World di Britain. Tapi yang mengaibkan ialah ini melibatkan akhbar arus perdana Malaysia yang kononnya serius dalam usahanya untuk meluaskan pemikiran rakyat serta menggalakkan keintelektualan warga.

Akhbar yang leka dengan sensasi dan unsur fitnah sudah tentunya mencerminkan ketidaktanggungjawapannya di mata umum, selain daripada melanggar etika kewartawanan. Ini menjadi begitu ketara apabila pihak yang dicemarkan imej dan kedudukan sosialnya tidak diberi peluang untuk membela dirinya dalam akhbar berkenaan.

Kalaupun diberikan ruang, selalunya ruang ini amat sempit, ataupun pandangan pihak yang tercemar diperoleh melalui pihak ketiga, bukan secara langsung daripada individu yang tercemar itu.

Tindak-tanduk akhbar arus perdana yang tidak beretika menyerlah apabila negara mengalami pilihanraya (seperti di Sarawak baru-baru ini). Waktu inilah akhbar bersikap kurang adil dalam pemberitaannya dengan memberi layanan yang baik lagi lumayan kepada parti yang memerintah, iaitu Barisan Nasional; malah ada juga akhbar yang bersekongkol dengan pihak berkuasa dengan menjana bohongan dan herotan realiti.

Akhbar, seperti ramai sedia maklum, bukan hanya sekadar melaporkan tentang peristiwa yang berlaku atau isu yang timbul pada hari berkenaan, tetapi ia juga berperanan - pada tahap tertentu - menyogok agenda bagi masyarakat. Dengan kata lain, akhbar mempunyai peranan atau matlamat yang murni dalam mencari kebenaran dan keadilan bagi pihak ahli masyarakat; mendidik rakyat; menggalakkan perbincangan secara aman; dan juga menjana maklum balas umum terhadap dasar pemerintah.

Tetapi peranan murni ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin jika akhbar berkenaan berkelakuan tidak lebih daripada penerbitan gossip, mekanisme mencetus sentimen perkauman atau ekstremis, dan alat propaganda pihak yang berkuasa.

Dan akhbar akan masih mengalami kekurangan kudrat untuk memikul tanggungjawab murni ini selagi ada undang-undang yang mengekang pekerjaan wartawan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Wartawan tidak akan berupaya menjalankan kewartawanan penyiasatan selagi ada undang-undang di atas, khususnya PPPA dan OSA.

Dalam masyarakat yang pelbagai golongan etnik seperti Malaysia, akhbar mempunyai peranan yang penting dalam konteks luas di mana rakyat menginginkan keharmonian nasional dan etnik. Sesungguhnya, akhbar boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara golongan etnik dalam masyarakat.

Salah satu langkah yang boleh dianggap sebagai satu kemajuan dalam kewartawanan ialah jika ada usaha akhbar vernakular, seperti Sin Chiew Daily dan Tamil Nesan, misalnya, meluaskan skop pemberitaan serta perspektif politiknya yang menjangkau kepentingan komuniti bahasa berkenaan.

Ini juga bermakna bahawa rakyat yang bukan berbahasa ibunda berkenaan mempunyai akses secara langsung atau tidak langsung kepada akhbar berkenaan.

Tanggungjawab akhbar berbahasa Melayu menjadi lebih berat dan mustahak lagi kerana ianya menggunakan bahasa Melayu yang juga bertaraf bahasa nasional.

Dalam kes Utusan Malaysia, misalnya, ia bukan saja harus melayani kehendak "komuniti Melayu" tetapi juga kepentingan "komuniti Malaysia" yang membabitkan pelbagai golongan etnik seperti Cina, India, Kadazandusun, Iban, dll. Melalui penggunaan bahasa Melayu dan juga ruang lingkup yang lebih luas ini, akhbar berkenaan boleh menjana perasaan "keahlian" (atau stakeholder) bagi setiap warga negara ini. Keperluan kepelbagaian ini sebenarnya telahpun dirasai sebelum "era 1Malaysia" lagi.

Dengan kata lain, akhbar berbahasa Melayu khususnya, perlu bersikap lebih terbuka dan sanggup melayani kepentingan dan keperluan pelbagai kelompok yang wujud dalam masyarakat kita. Dengan cara ini, bahasa Melayu benar-benar dirasai "kebangsaan"nya oleh pelbagai rakyat negara ini, dan lantas ianya menyuburkan lagi bahasa nasional ini.

Seperkara lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Utusan Malaysia mencerminkan pandangan "komuniti Melayu" tidaklah tepat. Ini kerana tidak ada "satu pandangan" dari satu "komuniti Melayu". Apa yang wujud ialah pelbagai pandangan dari pelbagai kelompok, ideologi dan kelas sosial dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Pemberitaan dan penulisan Utusan Malaysia harus mencerminkan kepelbagaian ini.

Seperti umum sedia maklum, akhbar online menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia akibat daripada melesetnya kredibiliti akhbar arus perdana kerana, antara lain, kawalan pihak berkuasa. Keupayaan akhbar online untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin juga menjadi kayu ukur kepada darjah demokrasi negara ini.

Itulah sebabnya ancaman siber yang dihadapi oleh akhbar online, seperti yang berlaku pada Malaysiakini baru-baru ini, menjadi kebimbangan kepada wartawan dan juga pencinta kebebasan akhbar.

Melesetnya kedudukan kebebasan akhbar di negara ini juga mempunyai kaitan rapat dengan kuasa yang diberikan kepada pemerintah oleh undang-undang yang berkaitan dengan akhbar, seperti PPPA, OSA dsb. yang membolehkan kawalan ketat pemerintah terhadap media pada keseluruhannya.

Negara yang ingin mencapai cita-cita tinggi, iaitu taraf negara industri, maju dan saintifik, memerlukan pada keseluruhannya warga yang berhemah tinggi, waras, cerdek, berdaya saing tinggi, saintifik dan adil serta kritis.

Hanya akhbar dan media lain yang mempunyai daya intelek yang tinggi, fikiran terbuka, komitmen terhadap kebenaran dan keadilan, dan kredibiliti tinggi yang boleh melayani kehendak dan keperluan warga negara sedemikian rupa.

*Mustafa K Anuar ialah pembaca setia MerdekaReview, dan juga pemerhati media tanah air.
Baca Seterusnya......

Cadangan penubuhan Majlis Media disambut dingin

Cadangan penubuhan sebuah Majlis Perundingan Media oleh kerajaan minggu lalu mendapat sambutan dingin oleh beberapa ahli veteran media yang beranggapan tindakan itu cuba mengekang lagi kebebasan bersuara di negara ini.

Bercakap di forum bagi menyambut Hari Kebebasan Akhbar Dunia di Universiti Industri Selangor hari ini, editor politik, the Sun Zainon Ahmad berkata penubuhan majlis berkenaan tidak seharusnya membabitkan pihak kerajaan langsung.

Malah, kata Zainon yang telah berkecimpung dalam industri berkenaan selama lebih tiga dekad, pihak media telah mencadangkan sebuah majlis yang ditadbir mereka sendiri sejak tahun 1970an tetapi tidak mendapat kelulusan.

"Hubungan media-kerajaan umpama landasan keretapi, selari tetapi tidak bertembung, jika tidak keretapi akan terbabas.

"Jika mereka (media dan kerajaan) bergandingan tangan dan jalan bersama, rakyat tidak akan dapat manfaat, tetapi di sini kedua-dua mereka pula saling berdakapan,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh kira-kira 500 para hadirin.

Zainon berkata walaupun butiran penubuhan Majlis Perundingan Media itu masih samar, namun pengamal media terus sangsi kerana media di negara itu kini suudahpun dibelenggu oleh banyak undang-undang yang mengekangnya.

Katanya, beliau menjangkakan Kementerian dalam Negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebidayaan akan berjumpa dengan penerbit dan editor menjelang akhir bulan ini bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Dengan dua menteri di sana, saya beranggapan para editor dan penerbit akan berkata 'Baik, Datuk Seri', tetapi saya berdoa apa yang saya katakan itu tidak akan jadi kenyataan,” katanya.M/kini
Baca Seterusnya......

M'sia jatuh ke tangga 143 - indeks kebebasan media

Malaysia menduduki tangga 143 daripda 196 negara yang disenaraikan sebagai negara yang mempunyai media masa yang bebas.Kajian yang dibuat oleh Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat menujukkan akhbar di Malaysia masih tidak bebas.

Malaysia yang mendapat hanya 64 mata berkongsi kedudukan dengan Madagascar dan Angola di benua Afrika.Kajian Kebebasan Akhbar 2011 ini dibuat sempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia yang disambut hari ini.

Freedom House, yang terletak di Washington DC, mendapati kebebasan media di seluruh dunia semakin merosot dengan hanya seorang daripada enam orang yang menghuni di negara yang mempunyai kebebasan akhbar.

“Pada 2010, khususnya terdapat kebimbangan di Asia Barat dan Amerika Selatan, manakala peningkatan dicatatakan di kawasan sub-Sahara Afrika,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Sekitar Asia Tenggara, Filipina, Indonesia, Thailand dan Kemboja menduduki tangga yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Filipina terletak di tangga 93 dengan 46 mata dan Indonesia, di tangga 108 dengan 53 mata. Akhbar di kedua-dua negara dikategorikan sebagai 'separa bebas'. Akhbar di Thailand pula (tangga 138) dan Kemboja (141) adalah 'tidak bebas'.

'Berita baik' bagi Malaysia adalah ia disenaraikan di atas Singapura (150), Brunei (163), Vietnam (177), Laos (184) dan Myanmar (191).

Pada 2009, Malaysia berada di tangga 143, tetapi menunjukkan sedikit pencapaian pada tahun lalu dengan menduduki tangga 141.

Menurut kajian itu, 10 negara teratas adalah Finland, Norway, Sweden, Belgium, Iceland, Luxembourg, Andorra, Denmark, Switzerland, Liechtenstein, Belanda dan Palau.

Manakala 10 negara yang paling buruk pula adalah Burma, Cuba,Guinea, Eritrea, Iran, Libya, Korea Utara, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Antara 53 negara Komanwel, mereka yang di bawah kedudukan Malaysia termasuk Cameroon, Sri Lanka, Gambia dan Swaziland.

Laporan itu meletakkan setiap negara kepada tiga kategori - bebas, separa bebas dan tidak bebas.
Baca Seterusnya......

Presiden NUJ rujuk pemecatan ke kementerian

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akan merujuk pemecatannya sebagai wartawan Utusan Malaysia kepada jabatan berkaitan, bawah Kementerian Sumber Manusia.

"Presiden NUJ Hata Wahari akan mengambil tindakan mengikut proses yang sepatutnya berhubung pemecatannya. "Seperti dinasihatkan peguam NUJ, beliau akan merayu menentang pemecatannya kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan," kata Setiausaha Agung NUJ V Anbalagan.Menurut Anbalagan (kanan), Hata mempunyai 60 hari untuk berbuat demikian selepas tarikh rasmi pembuangannya pada 21 April lalu.


Hata dipecat majikannya setelah didapati bersalah memburukkan imej syarikat melalui kenyataannya di beberapa media, termasuk Malaysiakini.

Dalam surat yang ditandatangani Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman bertarikh 21 April lalu, keputusan memecat Hata dibuat dengan mengambilkira keputusan siasatan dalaman terhadapnya.

Pegawai di jabatan itu akan cuma menyelesaikan perkara itu.

Bagaimanapun, sekiranya gagal, laporan akan dikemukakan kepada menteri sumber manusia untuk menentukan sama ada kes itu perlu dirujuk kepada Mahkamah Perindustrian, kata Anbalagan.

Monopoli media

"Kami gesa menteri ambil tindakan berkaitan tanpa bertanggung lagi kerana ia melibatkan kehidupan seorang pekerja," katanya.

Menurut wartawan harian berbahasa Inggeris itu, NUJ juga akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi meminta pandangan exco berhubung pemecatan Hata.

Beliau menegaskan, menurut undang-undang, Hata masih kekal sebagai presiden NUJ sehinggalah mesyuarat agung kesatuan itu yang akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, exco kerajaan Selangor Teresa Kok menyifatkan pemecatan Hata bukan isu kecil melibatkan pertarungan antara wartawan dan majikannya semata-mata.

"Pemecatannya harus dipandang berat oleh semua rakyat Malaysia kerana ia menonjolkan betapa tersekatnya kebebasan akhbar di Malaysia, dan monopoli media oleh Umno dan parti komponen BN yang lain," katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Teresa yang juga ADUN Seputeh keberanian Hata mengkritik Utusan dan menerima akibat dipecat kini menjadi kes penting dalam sejarah dan kajian kewartawanan Malaysia.

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula, dalam kenyataan sempena hari kebebasan akhbar sedunia hari ini menyifatkan pemecatan Hata antara salah satu rintangan kepada kebebasan media di negara ini.
Baca Seterusnya......

Utusan Melayu akhirnya pecat Hata Wahari

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akhirnya dipecat majikannya Utusan Melayu (M) Berhad setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syarat perkhidmatan yang ditetapkan.

Dalam surat yang ditandatangani Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman bertarikh 21 April lalu, keputusan memecat Hata dibuat dengan mengambilkira keputusan siasatan dalaman terhadapnya.

"Setelah mengambilkira faktor-faktor yang dikemukakan semasa siasatan dalaman dijalankan serta keadaan sekeliling tuduhan tersebut, syarikat tiada pilihan lain melainkan membuat keputusan tuan dibuang kerja serta merta, berkuatkuasa dari tarikh surat ini dikeluarkan," surat lapan halaman itu dipetik.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, Hata dibenarkan merayu kepada pengarah eksekutif Utusan dalam tempoh 14 hari selepas surat pemecatan dikeluarkan.

Wartawan kanan yang berkhidmat di Utusan sejak 1995 itu juga diminta memulangkan segala harta benda syarikat milik Umno itu dengan segera.

Walaupun dipecat, menurut undang-undang tubuh NUJ, Hata masih kekal merupakan presiden NUJ sehinggalah pemilihan baru yang akan datang.

Hata sebelum ini menghadapi lapan pertuduhan berdasarkan kenyataannya yang disiarkan dalam Malaysiakini, akhbar The Sun dan dua lagi portal berita.

Hata juga sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantan berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Hata bagaimanapun bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian.

Pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Baca Seterusnya......