KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN

Tuesday, June 18, 2013

BN sekat minda rakyat

KUALA LUMPUR : Cadangan mewajibkan pengendali media sosial serta protal berita di negara ini mempunyai lesen merupakan cadangan yang bersifat ke belakang dan mundur.

Cadangan tersebut dilihat sebagai suatu cubaan untuk menyekat rakyat dari mendapat laporan berita alternatif.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, usaha itu hanyalah satu helah BN untuk menyekat kebangkitan rakyat yang juga terhasil berikutan maklumat media ionternet.

"Dengan berselindung di sebalik alasan membendung budaya fitnah serta menghasut, cadangan ini timbul selepas BN mendapat kekalahan yang teruk dalam sejarah pilihan raya tanah air disebabkan oleh maklumat-maklumat yang diperolehi rakyat melalui internet," kata Kamaruzzaman

Tambahnya lagi, cadangan yang dilihat sebagai panik dan dangkal ini juga sebagai satu usaha dalam menutup mata rakyat dan mengekalkan pemerintahan BN di Malaysia.

Katanya lagi, dengan adanya undang-undang dan lesen tersebut, kerajaan bebas menyekat mana-mana maklumat yang dilihat sebagai membahayakan BN.

"Undang-undang yang boleh dimanipulasi oleh BN menjadi senjata utama dalam membodohkan rakyat Malaysia.

"Sudahlah akhbar milik Pakatan Rakyat disekat dan dihadkan pengeluarannya, kini media di internet pula mahu disekatnya," katanya lagi.

Bagi Kamaruzzaman, kerajaan boleh mengambil tindakan dengan mengenakan sekatan terhadap akses laman-laman lucah yang kian mudah diperolehi dan bukannya menyekat maklumat berita kepada rakyat.

Tambahnya, laman web pornografi itulah yang sebenarnya membahayakan negara dan generasi muda yang menjadi pelapis pimpinan masa kini.

Katanya lagi, laman web yang tidak bermoral ini seharusnya menjadi sasaran utama kerajaan. Selain itu, beliau menyelar sikap kerajaan yang tidak bertindak ke atas beberapa media arus perdana yang menjadi 'pemfitnah'. Sebaliknya tindakan 'double standard' dikenakan ke atas media alternatif di internet bakal mengundang kemarahan rakyat. "Ramai dikalangan rakyat kini adalah golongan yang tidak menerima maklumat daripada sebelah pihak sahaja. Rakyat kian pandai menilai berita yang diterima. "Berselindung di sebalik membenteras budaya fitnah akan menyebabkan rakyat semakin menolak kerajaan BN kerana akhbar-akhbar tajaan BN sendirilah yang mempromosikan budaya tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment